Malaysia Masters 2015: Denmark, Jepun rangkul dua gelaran juara
Bernama
Januari 19, 2015 08:33 MYT
Januari 19, 2015 08:33 MYT
Denmark dan Jepun masing-masing merangkul dua gelaran juara pada final Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Malaysia Masters 2015 di Stadium Perpaduan Negeri, Petra Jaya, di sini, Ahad.
Beregu wanita Denmark, yang juga pilihan pertama kejohanan, Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl, nyata berada dalam kelas tersendiri selepas tidak menghadapi masalah menewaskan gandingan Jepun, Naoko Fukuman/Kurumi Yonao.
Tampil dengan reputasi selaku gandingan ranking ketiga dunia, Christinna/Kamilla, menang 21-14 dan 21-14, menewaskan Naoko/Kurumi yang berada pada ranking ke-124 dunia, dalam pertarungan selama 46 minit.
Christinna sekali lagi mencatat nama sebagai johan selepas berpasangan bersama Joachim Fischer Nielsen dalam beregu campuran menewaskan Praveen Jordan/Debby Susanto dari Indonesia, yang juga naib johan kejohanan sama tahun lalu di Johor Baharu.
Pilihan pertama kejohanan dan pasangan keempat dunia itu, menewaskan Praveen/Debby, regu campuran ke-12 dunia straight set, 21-18 dan 21-18.
Kekecewaan Jepun dalam acara beregu wanita bagaimanapun sedikit terubat, dalam perseorangan wanita, pertembungan sesama sendiri antara pemain mereka, pilihan ketiga kejohanan, Sayaka Takahashi, menentang pilihan keempat, Nozomi Okuhara, berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Nozomi dalam pertarungan dua set.
Biarpun hanya berada pada ranking ke-24 dunia, Nozomi yang terkandas pada separuh akhir kejohanan yang sama tahun lalu di Johor Baharu, mempamerkan permainan lebih baik dan kemas berbanding Sayaka, pemain ranking ke-16 dunia, untuk menang 21-13 dan 21-17.
Jepun menambah satu lagi koleksi kejuaraan apabila gandingan beregu lelaki, Kenta Kazuno/Kazushi Yamada mengejutkan pilihan kelapan kejohanan dari Taiwan, Chen Hung Ling/Wang Chi-Lin.
Pertarungan sengit kedua-dua pasangan itu pada set pertama, dimenangi Kenta/Kazushi 21-19, pasangan itu bagaimanapun seakan hilang fokus pada set kedua dan tewas 14-21.
Kenta/Kazushi bagaimanapun bangkit pada set ketiga untuk menang 21-17.
Aksi final perseorangan lelaki yang juga menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara pemain Korea Selatan, Lee Hyun Il, 34, menentang pemain yang jauh lebih muda, Jeon Hyeok Jin, 20, perlawanan yang akhirnya dimenangi oleh Hyun Il dalam pertarungan tiga set.
Hyun Il, pemain pada ranking ke-38 dunia tewas set pertama 19-21, namun bangkit untuk memenangi set kedua 21-13, menggunakan pengalaman yang dimilikinya sebaik mungkin, pemain veteran itu terus menguasai set ketiga untuk menang 21-15.
Johan bagi perseorangan lelaki dan wanita menerima US$9,000 (RM32,000), dan naib johan menerima US$4,560 (RM16,000), manakala bagi johan beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran menerima US$9,480 (RM34,000) dan naib johan menerima US$4,560 (RM16,000).
Kejohanan tahap tiga ini, yang menawarkan hadiah keseluruhan US$120,000 (RM428,000), adalah anjuran bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Sarawak serta diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia dan Konfederasi Badminton Asia.
Turut hadir menyaksikan final ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
Adenan yang turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi kategori perseorangan wanita dan perseorangan lelaki.