Malaysia mara ke pusingan pertama Siri Piala Dunia Memanah

Bernama
Jun 7, 2017 23:49 MYT
Menanti Malaysia di pusingan pertama yang dijadual berlangsung esok, adalah pasukan Great Britain yang menamatkan saingan kelayakan di tempat ke-11. - Gambar fail
Skuad memanah recurve lelaki negara berjaya mara ke pusingan pertama Siri Piala Dunia Memanah Kedua di Antalya, Turki, selepas menduduki kelompok 16 pasukan terbaik pada pusingan kelayakan hari ini.
Skuad negara yang diwakili Muhammad Akmal Nor Hasrin, Khairul Anuar Mohamad dan Mohd Haziq Kamaruddin mengumpul 1,986 mata untuk berada di tempat keenam.
Menanti Malaysia di pusingan pertama yang dijadual berlangsung esok, adalah pasukan Great Britain yang menamatkan saingan kelayakan di tempat ke-11.
Selepas tamat pusingan kelayakan, pasukan Itali diletakkan sebagai pilihan pertama acara berpasukan setelah mengumpul 2,018 mata, diikuti Perancis (1,994) dan India (1,989).
Bagi acara individu, Muhammad Ikram Joni yang menamatkan saingan pusingan kelayakan individu di tempat ke-81 selepas mengutip 609 mata, akan bertemu pemanah Itali, Massimiliano pada pusingan pertama recurve individu lelaki, yang juga berlangsung esok.
Sementara Muhammad Akmal, Khairul Anuar dan Mohd Haziq mendapat ''bye'' untuk terus ke pusingan kedua pada Jumaat.
-- BERNAMA
#atlet negara #Malaysia #siri piala dunia #skuad memanah #sukan #sukan memanah
;