Malaysia mampu lahir pelumba F1 bertaraf dunia

Astro Awani
Januari 29, 2013 07:44 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin Malaysia mampu melahirkan pelumba Formula One (F1) setaraf dengan pelumba handalan lain.
Baginya itu bukan hanya angan-angan, tetapi sesuatu yang mampu menjadi kenyataan.
Mengambil contoh MotoGP yang mampu melahirkan bakat besar seperti Zulfahmi Khairuddin, Shabery menyifatkan perkara sama mampu dilakukan menerusi F1.
“Saya yakin bahawa satu hari nanti kita mampu melahirkan pelumba F1 yang setaraf dan setanding juga, sehingga kini kita ada beberapa pelumba yang sedang menjalani latihan bagi perlumbaan akan datang,” kata Shabery Cheek.
Malaysia sebelum ini pernah melahirkan pelumba F1 iaitu Alex Yoong dan Fairuz Fauzi.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Grand Prix Petronas Formula One Malaysia 2013.
Hadir pada majlis itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Turut sama adalah Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang, SIC, Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.
Saingan F1 musim 2013 bakal membuka tirai saingan di Melbourne pada pertengahan Mac ini.
Berselang seminggu, giliran SIC menjadi tuan rumah buat kali ke-15 bermula pada 22 hingga 24 Mac nanti.
#Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek #F1 #SIC #Tun Dr Mahathir Mohamad
;