Malaysia lonjak tujuh anak tangga, kini di ranking ke-147 dunia
Bernama
Jun 23, 2022 20:16 MYT
Jun 23, 2022 20:16 MYT
KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia 2023 membantu melonjakkan Malaysia tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-147 dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.
Skuad Harimau Malaya sebelum ini menduduki tangga ke-154 dunia pada ranking sebelum ini yang dikeluarkan Mac lepas.
Pasukan kendalian Ketua Jurulatih Kim Pan Gon mencipta sensasi apabila berjaya menamatkan penantian lebih empat dekad dengan melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 selepas membenam Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.
Sementara itu, juara Piala Dunia lima kali, Brazil kekal mendominasi ranking FIFA diikuti Belgium, Argentina, Perancis dan England bagi kedudukan lima teratas.
-- BERNAMA
#Malaysia
#bola sepak
#ranking
#harimau Malaya
#Piala Asia 2023
#Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
#FIFA
#Kim Pan Gon