Malaysia layak ke separuh akhir badminton lelaki berpasukan

Bernama
Mei 16, 2022 21:30 MYT
Wan Arif-Muhammad Haikal (gambar) mengesahkan slot Malaysia ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh. - Foto Facebook BAM
HANOI: Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan tuan rumah, Vietnam 3-1 sekali gus layak ke separuh akhir acara badminton berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA Ke-31 di Gimnasium Bac Giang, di sini pada Isnin.
Pasukan muda negara ketinggalan selepas pemain berpengalaman Vietnam Nguyen Tien Minh menewaskan Jacky Kok Jing Hong 21-14, 24-26, 21-7 dalam perseorangan lelaki.
Malaysia kemudian bangkit menyamakan kedudukan apabila beregu pertama Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengetepikan cabaran gandingan Do Tuan Duc-Pham Hong Nam 21-8, 20-22, 21-18.
Lee Shun Yang pula menewaskan Le Duc Phat 21-19, 27-25 dalam perseorangan kedua, sebelum beregu kedua negara Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri mengesahkan slot Malaysia ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh 15-21, 21-12, 22-20.
Malaysia akan berdepan Singapura di peringkat separuh akhir, petang ini. Singapura mara dalam kelompok empat pasukan terbaik itu selepas mengalahkan Laos 3-0.
Sementara itu, cabaran skuad wanita muda negara terkandas di peringkat suku akhir apabila tewas mengejut 1-3 kepada Vietnam.
Perseorangan pertama Siti Nurshuhaini Azman tewas 9-21, 8-21 kepada Nguyen Thuy Linh, sebelum Vu Thi Trang meletakkan tuan rumah di kedudukan 2-0 apabila mengalahkan Siti Zulaikha Azmi 21-9, 21-7.
Beregu pertama negara Go Pei Kee-Yap Ling kemudian berjaya merapatkan kedudukan selepas menewaskan Dinh Thi Phuong Hong-Do Thi Hoai 12-21, 21-15, 21-16.
Namun perseorangan ketiga negara Ong Xin Yee gagal mengawal tekanan dan tumpas 13-21, 15-21 kepada Vu Thi Anh Thu sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam acara berpasukan.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #badminton #Vietnam #Singapura