Malaysia ke pentas final bola jaring
Bernama
Disember 1, 2019 00:43 MYT
Disember 1, 2019 00:43 MYT
Skuad bola jaring negara melangkah bergaya ke pentas final Sukan SEA ke-30, selepas menewaskan Brunei 64-40 dalam aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, di sini, pada Ahad.
Kemenangan anak didik Tracey Robinson itu bagaimanapun tidak diperoleh dengan mudah, apabila pasukan negara dilihat bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik, biarpun berjaya mendahului 17-13 pada suku pertama.
Kelonggaran ketara di bahagian pertahanan skuad negara berjaya diperbaiki pada suku kedua menyaksikan Malaysia melebarkan jurang kepada 33-22, sebelum dominasi skuad negara berterusan pada suku ketiga yang menyaksikan juara bertahan itu terus di hadapan dengan 51-30.
Prestasi cemerlang dipamer Pow Mei Foong di bahagian tengah wajar diberi pujian apabila gerakannya ketika membantu melakukan serangan dan bertahan sukar digugat pemain Brunei yang sekali lagi terpaksa menerima hakikat tunduk kepada Malaysia.
Brunei sebelum ini tewas 23-69 kepada Malaysia dalam aksi ketiga pusingan awal Khamis lalu dan kemenangan hari ini menyaksikan anak didik Robinson bakal bertemu musuh tradisi, Singapura di pentas final, Isnin.
Singapura yang merupakan juara Sukan SEA edisi 2015 mengesahkan slot ke final selepas membelasah Thailand, 61-31 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Pemain senior negara, Norashikin Kamal Zaman ketika dihubungi Bernama berkata, walaupun beroleh kemenangan namun beliau kurang berpuas hati dengan permainan yang ditampilkannya dan mengakui tidak berada pada tahap sebenar seperti yang diinginkan.
"Saya rasa hari ini , tidak berpuas hati dengan prestasi sendiri, saya rasa sebenarnya boleh buat lebih baik dari hari ini. Tetapi apa pun saya akan memperbaiki dan meningkatkan prestasi saya untuk perlawanan akhir esok," katanya.
Sementara itu, Robinson nyata kurang berpuas hati dengan saingan ditampilkan anak buahnya dan menggesa mereka bangkit dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
"Permainan yang tidak sempurna dan tidak berada pada tahap terbaik. Namun akan berusaha lebih gigih untuk peluang merangkul emas. Kita perlu mengekalkan standard yang tinggi...lebih-lebih lagi tidak mengambil mudah selepas mendahului saingan," katanya.
-- BERNAMA