Malaysia kalah 2-0 kepada Palestin
Bernama
Mac 27, 2013 08:48 MYT
Mac 27, 2013 08:48 MYT
Skuad Harimau Malaya terpaksa menelan pahit setelah diaibkan oleh Palestin 2-0 pada perlawanan amal antarabangsa di Stadium Darul Makmur.
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal, yang sebelum ini dikritik kerana persembahan hambar, bagaimanapun bertindak agresif sebaik sahaja perlawanan bermula dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu lawan.
Namun, Palestin membalas serangan dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-27 apabila rembatan kencang Iyad A.S.Gharoud berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang tuan rumah, Mohd Farizal Marlias.
Tiga minit kemudian, Mohd Amri Yahyah hampir memberikan gol pendahuluan apabila gagal melakukan penyudah semasa berdepan dengan penjaga gol Palestin Tawfiq A.Y.Abuhammad.
Kelekaan benteng pertahanan negara dihukum oleh Palestin menerusi jaringan pertama Khaled J.A.Salem pada minit ke-39.
Percaturan Rajagobal pada separuh masa kedua dengan menukar penjaga gol pada saat-saat akhir mengundang padah apabila Ashraf N.O. Alfawaghra berjaya meledakkan gol kedua pelawat pada minit ke-90.
Palestin hampir menambah satu lagi jaringan pada masa tambahan menerusi sepakan penalti namun sepakan Husam I.A. Abusalah namun ia berjaya ditepis oleh penjaga gol gantian, Ahmad Syihan Hazmi Mohamad.
Perlawanan itu turut disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia Dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Duta Palestin ke Malaysia Abdul Elaziz Abu Goush.
Sebelum perlawanan bermula, Sultan Ahmad Shah menerima sumbangan berjumlah RM910,000 daripada pelbagai pihak untuk Tabung Lahad Datu dan Palestin. Jumlah sumbangan itu tidak termasuk jualan tiket perlawanan.