Malaysia julung kali tuan rumah Kejohanan Asia Pasifik Ironman 70.3 di Langkawi
Bernama
September 13, 2023 06:15 MYT
September 13, 2023 06:15 MYT
ALOR SETAR: Buat julung kali Malaysia muncul sebagai tuan rumah kepada Kejohanan Asia Pasifik Ironman 70.3 yang dijadual berlangsung di Langkawi pada 7 Okt ini dengan sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).
Pengarah Serantau Asia Ironman Group CG Lim berkata penganjuran kejohanan itu bagi kali pertama di Malaysia adalah bukti komitmen negara dalam mempromosikan sukan triatlon.
"Acara ini merupakan peristiwa penting bagi sukan triatlon di rantau ini yang bukan sahaja menampilkan bakat luar biasa dalam komuniti sukan itu, tetapi juga menyerlahkan keindahan Pulau Langkawi yang tiada tandingan.
"Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa dan masyarakat tempatan atas sokongan mereka bagi menjayakan acara ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Zain Azrai Rashid dalam kenyataan sama berkata MyCEB yang mewakili Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berbesar hati mengumumkan sokongannya kepada Kejohanan Asia Pasifik Ironman 70.3 yang berprestij itu.
"Sejak diperkenalkan pada 1978, Ironman Group telah menganjurkan lebih 230 acara triatlon di 57 negara seluruh dunia. Malaysia khususnya Langkawi merupakan tuan rumah ke tujuh bagi kejohanan Asia Pasifik ini.
"Seiring dengan itu, MyCEB telah menyasarkan penyertaan 4,760 atlet traitlon tempatan dan antarabangsa yang dijangka menyumbang kira-kira RM15 juta kepada industri acara sukan antarabangsa Malaysia," katanya.
Selepas terhenti beberapa tahun, Langkawi sekali lagi bakal mengalu-alukan kedatangan atlet antarabangsa, sekali gus menandakan kembalinya mereka ke pantai Malaysia sejak 2019 dan setakat ini lebih 1,200 atlet traitlon menunjukkan minat serta telah memberikan komitmen mereka.
Mereka akan berentap bersama beberapa atlet triatlon terkemuka rantau ini bagi merebut hadiah wang tunai US$75,000 (RM350,000) membabitkan disiplin renang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal (90km) dan larian (21.1km)
Acara tersebut juga memberi peluang kepada atlet merebut tempat dalam Kejohanan Dunia VinFast Ironman 70.3 2024, yang akan diadakan di Taupo, New Zealand, dengan sejumlah 40 slot kelayakan kumpulan umur bakal jadi rebutan.
Selain itu, turut menjadi taruhan 20 slot kelayakan bagi Kejohanan Dunia VinFast Ironman 2024 di Kailua-Kona, Hawaii untuk atlet lelaki dan 50 slot kelayakan bagi Nice, Perancis untuk atlet wanita.
-- BERNAMA