Malaysia intai peluang layak ke Sukan Olimpik Belia

Bernama
April 29, 2018 05:27 MYT
kejohanan Gimnastik Berirama Asia adalah antara kejohanan penting untuk melayakkan diri ke YOG khususnya melalui Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja ke-16. - Foto Bernama
Gimnas negara berpeluang untuk menempah tempat untuk beraksi pada Sukan Olimpik Belia (YOG) di Buenos Aires, Argentina pada Oktober depan.
Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Jimmy Tan berkata kejohanan Gimnastik Berirama Asia adalah antara kejohanan penting untuk melayakkan diri ke YOG khususnya melalui Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja ke-16.
"Selepas pertandingan kelayakan hari ini, Rayna (Hoh Kai Ling) ialah harapan terbaik kita untuk layak ke YOG. Syarat kelayakan bagi YOG adalah berdasarkan keputusan pusingan kelayakan pada Kejohanan Asia dan bukan berdasarkan keputusan hari terakhir," kata beliau ketika ditemui di Axiata Arena Bandar Sukan Kuala Lumpur, pada Ahad.
Menurut Tan, kejohanan itu akan menjadi platform terbaik buat gimnas remaja negara menilai prestasi kerana mereka yang berada di kelompok tujuh terbaik akan layak secara automatik ke YOG.
Tambah beliau, jumlah itu bagaimanapun memberi kelayakan maksimum satu gimnas untuk mewakili satu negara sahaja.
Selepas dua aparatus dipertandingkan hari ini, Rayna menguasai acara gelung dengan mengumpul 14.500 mata manakala dalam aparatus bola pula gimnas berusia 15 tahun itu berada dikedudukan kelima dengan 13.350 mata.
Esok, beliau akan meneruskan cabaran pusingan kelayakan dalam acara belantan dan reben.
Bagaimanapun Tan berkata MGF tidak meletakkan sebarang sasaran kepada gimas senior memandangkan kejohanan berkenaan turut disertai gimnas Olimpian dari beberapa negara kuasa besar gimnastik seperti Jepun, Uzbekistan, Kazakhstan, Korea Selatan dan China.
"Tahap pertandingan adalah lebih tinggi daripada Sukan Komanwel. Ia lebih sukar untuk gimnas senior kita," katanya.
Lapan gimnas terbaik (remaja dan senior) dalam setiap aparatus individu melayakan diri ke peringkat akhir aparatus individu keseluruhan pada 1 Mei dan aparatus individu pada 2 Mei.
Sementara itu gimnas senior, Amy Kwan Dict Weng yang ditemui berkata walaupun terpaksa berhadapan saingan sengit, beliau berpuas hati dengan persembahan yang diberikan.
"Selepas berbincang dengan jurulatih, saya mengekalkan rutin persembahan yang sama seperti ketika di Sukan Komanwel tempoh hari. Pada mulanya mahu menyerap beberapa elemen baharu dalam rutin tetapi tidak jadi...rutin itu akan digunakan pada Sukan Asia," kata gimnas berusia 23 tahun itu.
Selain Malaysia, edisi kali ini melibatkan penyertaan 18 negara lain iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Uzbekistan, Kazakhstan, Mongolia, Krygyztan, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Qatar, India, Lubnan dan Korea Utara.
-- BERNAMA
#Amy Kwan Dict Weng #Argentina #Buenos Aires #gimrama #Malaysia
;