Malaysia hidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023
Bernama
September 16, 2022 05:45 MYT
September 16, 2022 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan menghidupkan peluang layak ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023, selepas menewaskan Sri Lanka 3-0 pada aksi Kumpulan E saingan kempen kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia pada Jumaat.
Kejayaan di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF) itu merupakan kemenangan sulung skuad muda negara bimbingan Hassan Sazali Mohd Waras, selepas seri 1-1 menentang pasukan tuan rumah Rabu lepas.
Dua jaringan Alif Izwan Yuslan pada minit ke-30 dan pada masa tambahan babak kedua, selain gol Adam Farhan Faizal (minit ke-70) pada pertembungan itu, menghadiahkan Malaysia tiga mata berharga sekali gus dapat memberi tekanan kepada pendahulu, Korea Selatan dalam pemburuan slot automatik.
Pada aksi tersebut, Sri Lanka terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas R. V. Navod Lakshitha diberikan kad merah pada minit ke-53, atas kekasaran terbadap Muhammad Marwan Abdul Rahman.
Selepas ini, Malaysia dan Korea Selatan akan bertemu pada aksi terakhir kumpulan Ahad ini dengan hanya kemenangan akan memastikan skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023 selaku juara kumpulan.
Sekiranya gagal meraih kemenangan atau pun mencatat keputusan seri, Malaysia terpaksa mengharapkan untuk layak menerusi slot lima naib juara kumpulan terbaik.
Hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik berpeluang mara ke pusingan akhir di Uzbekistan yang dijadual berlangsung pada Mac.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan E, Korea Selatan berpesta gol membelasah Mongolia 7-0 untuk mengukuhkan kedudukan di puncak mengumpul enam mata, meninggalkan Malaysia di tempat kedua dengan empat mata sementara Mongolia ketiga (satu mata) dan Sri Lanka tercorot tanpa mata.
-- BERNAMA