Malaysia dijangka kumpul RM28 juta daripada FISE
Bernama
Julai 29, 2013 07:30 MYT
Julai 29, 2013 07:30 MYT
Pesta Sukan Antarabangsa Extreme World Series 2014 (FISE), yang akan diadakan buat pertama kali di Malaysia, dijangka membawa hasil RM28 juta pada tahun pertama penganjurannya.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata acara utama sukan itu dijangka menarik kemasukan 10,000 pengunjung termasuk 3,000 peserta antarabangsa dan pelancong dari seluruh dunia.
"Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia yang menjadi tuan rumah FISE di peringkat World Series selepas memenangi bidaan yang turut disertai 18 negara di seluruh dunia.
"FISE World Series akan diadakan di Melaka," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Malaysia Roller Sports Association (MARS) dan Hurricane Action Sport Company di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani presiden MARS Idroose Tambarin dan Pengurus Besar Hurricane Action Sport Company, Herve Andre Benoit.
Turut hadir Menteri Perdagangan Luar Perancis Nicole Bricq.
Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah FISE dari 2014 hingga 2016.
FISE World Series merupakan festival sukan lasak terbesar dunia yang mempamerkan sukan lasak seperti papan luncur, BMX, 'mountain biking', 'wake-boarding' dan 'inline skating'.
Sementara itu, Idroose berkata penganjuran FISE merupakan platform terbaik untuk atlet sukan lasak mendapatkan pendedahan dalam pertandingan bertaraf dunia.
"Kami melihat penganjuran ini memberi peluang kepada semua atlet sukan ekstrem mengembangkan bakat masing-masing di pentas dunia," katanya.