Malaysia dapat laluan mudah pada Piala AFF Suzuki 2018
Bernama
Mei 2, 2018 23:24 MYT
Mei 2, 2018 23:24 MYT
Skuad Harimau Malaya mendapat laluan mudah untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat kalah mati pada kejohanan bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 yang dijadual berlangsung dari 8 Nov hingga 15 Dis.
Berdasarkan undian dijalankan di Jakarta, Indonesia, hari ini yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook AFF, skuad negara di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe diundi bersama-sama pasukan bukan pilihan – Myanmar, Laos serta Kemboja, dengan pencabar utama adalah juara edisi 2008, Vietnam dalam Kumpulan A.
Juara bertahan, Thailand mengetuai Kumpulan B yang dianggap 'Kumpulan Maut' bersama-sama juara empat kali Singapura, naib juara lima kali Indonesia, Filipina dan juga pemenang aksi play-off antara Timor Leste dan Brunei.
Mengulas mengenai undian itu, Cheng Hoe tidak akan mengambil mudah cabaran tersebut, sambil berharap anak buahnya dapat mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan dwitahunan edisi ke-12 itu yang menggunakan format baharu - bermain di tempat sendiri dan juga di gelanggang lawan.
"Pasukan kita dianggap 'underdog' kerana skuad ini kebanyakannya pemain muda dan kita akan menghadapi perlawanan ini satu demi satu, dan berharap dapat melakukan yang terbaik pada setiap perlawanan pada edisi kali ini," katanya kepad pemberita selepas undian tersebut.
Kenyataannya melalui audio itu disediakan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Mengikut format baharu, kejohanan berkenaan diperluaskan kepada 10 pasukan ASEAN berbanding lapan sebelum ini, dengan negara masing-masing berada di ranking ke-10 dan 11 – Brunei dan Timor Leste akan beraksi dalam perlawanan play-off bagi menempah satu slot ke undian utama.
Setiap kumpulan terdiri daripada lima pasukan, dengan kesemuanya beraksi dua perlawanan di tempat sendiri serta dua aksi di gelanggang lawan, dan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati.
Untuk rekod, Malaysia hanya muncul juara kejohanan itu pada 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, selepas skuad negara menewaskan tuan rumah bersama, Indonesia 4-2 secara agregat dalam dua aksi final. -- Bernama