Malaysia ceria dengan 68 emas, Shalin dan Rafiq cetus semangat
Bernama
Ogos 25, 2017 07:00 MYT
Ogos 25, 2017 07:00 MYT
Ikon boling Shalin Zulkifli dan bintang muda Muhammad Rafiq Ismail mencetuskan fenomena apabila meraih gelaran berganda dalam pertarungan penuh mendebarkan acara masters lelaki dan wanita pada temasya Sukan SEA ke-29.
Keceriaan di gelanggang boling Sunway Mega Lanes itu membantu kontingen negara menambah lima emas pada Jumaat untuk mengekalkan kedudukan di persada carta pungutan pingat dengan 68 emas, 46 perak dan 44 gangsa.
Tambahan koleksi emas itu adalah momentum yang sempurna bagi tuan rumah mendahului carta, menjelang perlawanan kemuncak bola sepak separuh akhir lelaki dengan Indonesia di Stadium Shah Alam hari ini, serta acara terjun dan gimrama yang dijangka menjadi lubuk emas negara.
Vietnam yang terus meraih emas acara renang dan olahraga, kekal menduduki tangga kedua keseluruhan dengan 43 emas, diiikuti rapat Singapura yang meraih 39 pingat.
Juara keseluruhan edisi 2015, Thailand, hanya mengumpul 34 emas untuk berada di tangga keempat.
Shalin, 39, menggunakan pengalamannya untuk mengatasi pencabar Indonesia, Tanya Roumimper dengan kemenangan tipis satu pin dengan 223-222 bagi emas ketiganya untuk melabuhkan tirai pertandingan itu.
Muhammad Rafiq, 20, menebus kekecewaan di tangan musuh yang sama pada edisi lepas apabila mengalahkan juara bertahan Yannaphon Larp-Apharat 213-190 dari Thailand dalam acara final masters, sekali gus meraih empat pingat, kelebihan satu lagi pingat daripada penampilan sulungnya di Singapura dua tahun lepas.
Boling padang menepati ramalan dengan mengutip emas berganda dalam acara triples lelaki dan wanita manakala dalam acara silat, Malaysia menggondol pingat emas dalam ganda wanita.
Dalam acara triples lelaki, Malaysia menewaskan Brunei 19-9 dan wanita pula menewaskan Filipina 19-11 pada final, iaitu merangkul tiga daripada empat emas yang dipertaruhkan sejak Khamis dan Malaysia ialah pasukan pilihan untuk acara pairs dan singles selepas ini.
Pesilat negara, Nur Syazreen A Malik dan Nor Hamizah Abu Hassan memenangi emas acara ganda wanita dan Singapura meraih perak manakala gangsa milik Indonesia.
Malaysia turut muncul juara ganda lelaki pada Khamis.
Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia ( MASOC) mengumumkan perubahan venue acara silat dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ke Stadium Juara yang berkapasiti 3,000 untuk menampung peminat sukan itu.
Silat menawarkan 20 pingat emas, ketiga tertinggi selepas olahraga dan renang.
Pada hari penentuan acara olahraga, ratu pecut Vietnam, Le Tu Chinh melengkapkan pencapaian hatri emas apabila mengetuai pasukannya merangkul emas acara 4x100m selepas menyapu bersih acara 100m dan 200m.
Malaysia sekadar menghuni tangga keempat dalam acara 4x400m lari berganti-ganti lelaki dan wanita, namun kuartet lelaki berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.27s di sebalik ketiadaan pemenang emas 100m, Khairul Hafiz Jantan yang mengalami kecederaan hamstring.
Dalam acara heptatlon, Norliyana Kamaruddin mendapat tepukan penonton walaupun tidak memenangi sebarang pingat. Mengumpulkan keseluruhan 5,247 mata, Norliyana berjaya memecahkan 36 tahun rekod kebangsaan yang dicipta Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman pada temasya Sukan SEA Manila 1981.
Dua lagi emas diraih dalam acara lompat tinggi wanita yang berakhir Khamis, dengan ketiga-tiga atlet berkesudahan merekodkan lompatan setinggi 1.83m. Dalam keputusan yang diumumkan Khamis, atlet Vietnam Duong Thi Viet An dan Singapura Michelle Sng berkongsi pingat emas dan gangsa dirangkul atlet negara, Yeap Sean Yee berdasarkan kiraan semula.
Ini merupakan kali kedua emas berganda ditawarkan dalam temasya ini. Acara final gelang roman gimnastik artistik juga mempunyai dua pemenang yang mempunyai mata yang sama, iaitu dua gimnas Malaysia, Tan Fu Jie dan Jeremiah Loo.
Dalam sepak takraw pula, Malaysia sekali lagi berakhir dengan kutipan gangsa bagi acara kuadran lelaki yang dimenangi oleh Thailand dan Myanmar meraih perak.
Sebanyak 51 lagi emas menjadi buruan hari ini yang akan menyaksikan persaingan sengit dalam acara renang, olahraga, bola keranjang, golf, menembak, ping pong dan tenis.
-- BERNAMA
#KL2017
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Muhammad Rafiq Ismail
#shalin zulkifli
#Singapura
#Sukan SEA
#Thailand
#Vietnam