Malaysia cemerlang lakar kemenangan kedua
Bernama
Mei 31, 2013 23:27 MYT
Mei 31, 2013 23:27 MYT
Malaysia mencatatkan kemenangan kedua pada pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Asia 2014 Bawah 14 Tahun apabila mengalahkan Filipina 2-0 di Stadium Wunna Theik di Myanmar, hari ini.
Malaysia sebelum ini mengalahkan tuan rumah Myanmar 2-0 pada perlawanan pembukaan, Selasa lepas, sebelum seri 0-0 dengan Timor Leste pada hari berikutnya pada saingan Kumpulan E.
Skuad Malaysia di bawah bimbingan K. Gunalan kini terikat tujuh mata dengan pendahulu kumpulan, Timor Leste.
Malaysia akan menentang Brunei, Ahad ini, sebelum melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan bertemu Vietnam, pada hari berikutnya.
Myanmar menjadi tuan rumah perlawanan pusingan kelayakan Kumpulan E dan F.
Setakat ini, enam negara selaku juara kumpulan masing-masing iaitu Iraq, Saudi Arabia, Tajikistan, Iran, Korea Selatan dan Korea Utara telah menempah tiket ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.