Malaysia benam Kuwait di kejohanan hoki ais antarabangsa

Bernama
Mac 3, 2022 23:45 MYT
Skuad negara selepas ini akan menentang tuan rumah Kyrgyzstan pada 5 Mac, diikuti Iran (7 Mac) dan Singapura (8 Mac). - Gambar/ Team Malaysia
KUALA LUMPUR: Pasukan hoki ais lelaki negara memulakan kempen Kejohanan Dunia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV di Bishkek, Kyrgyzstan dengan penuh bergaya selepas membenam Kuwait 5-2 hari ini.
Malaysia yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu terlebih dahulu dikejutkan dalam perlawanan pembukaan selepas Kuwait mendahului babak pertama perlawanan hasil jaringan Salem Alajmi seawal minit ke-4.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Gary Tan kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang Mohammad Hariz Mohammad Oryza Ananda pada minit ke-20.
Kemudian, jaringan hatrik Muhammad Fareez Afdlin Mohd Fauzi pada minit ke-32, ke-34 dan ke-37 meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa 4-1.
Pemain pertahanan Goh Juan Jie terus mengukuhkan kedudukan apabila menyumbang gol kelima negara pada minit ke-38 manakala Alli Alsarraf pula menjaringkan gol kedua Kuwait pada minit ke-46 dalam babak ketiga perlawanan.
Skuad negara selepas ini akan menentang tuan rumah Kyrgyzstan pada 5 Mac, diikuti Iran (7 Mac) dan Singapura (8 Mac).
-- BERNAMA
#hoki ais #Malaysia #skuad hoki ais malaysia #Kuwait
;