Malaysia bakal hadapi laluan getir pada Sukan Asia 2018
Bernama
Julai 5, 2018 05:02 MYT
Julai 5, 2018 05:02 MYT
Skuad Bola Sepak Bawah 23 (B-23) negara dijangka menghadapi laluan getir dalam acara bola sepak pada Sukan Asia 2018 Indonesia, bulan depan.
Ketua Jurulatih Skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui tiga pasukan dalam Kumpulan E bakal memberikan saingan sengit kepada skuad muda negara untuk layak ke pusingan kedua terutamanya juara bertahan, Korea Selatan yang berada pada prestasi terbaik ketika ini.
Pada Sukan Asia 2018, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan pada undian yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, pada Khamis.
"Yang penting di sini adalah kita harus memikirkan persiapan kita dan jika kita dapat mengumpulkan kesemua 20 pemain terbaik termasuk tiga pemain melebihi umur 23 tahun, saya percaya kita mampu melangkah ke peringkat seterusnya," kata Kim Swee ketika diminta mengulas mengenai undian berkenaan.
Malaysia pernah berdepan Korea Selatan yang menyaksikan mereka tewas 0-3 pada aksi pembukaan Kumpulan A pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Malaysia pernah memenangi pingat gangsa acara bola sepak Sukan Asia pada edisi 1962 di Indonesia dan 1974 di Iran.
--BERNAMA