Malaysia atasi Myanmar 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa

Bernama
Julai 13, 2017 23:48 MYT
Pasukan negara beraksi dan kemudian menyambut kemenangan dalam hujan. - Bernama
Skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara mencatat kemenangan 2-0 ke atas skuad B-22 Myanmar pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.
Pada aksi berkenaan, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati sebaik sahaja pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed memulakan perlawanan namun Malaysia berada di hadapan menerusi tandukan N. Thanabalan pada minit ke-26 hasil sepakan percuma Muhd Syazwan Andik Mohd Ishak.
Nagor kemudian memutuskan untuk memberhentikan perlawanan pada minit ke-37 selepas beberapa kepingan atap genting stadium berterbangan masuk ke dalam kawasan padang sebelum kembali disambung pada minit ke-42.
Skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee hampir menggandakan jaringan namun percubaan Muhd Jafri Muhd Firdaus Chew, selang seminit kemudian gagal menepati sasaran walaupun penyerang Pulau Pinang itu hanya berdepan dengan penjaga gol Myanmar, Phone Thitsar Min.
Keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Hujan lebat yang turun sebelum bermulanya babak kedua perlawanan sedikit sebanyak menjejaskan rentak perlawanan kedua-dua pasukan namun ia tidak menghalang kerancakan perlawanan yang disaksikan lebih 5,500 penyokong.
Kim Swee kemudian melakukan lapan pertukaran dan ia membawa hasil apabila pemain gantian, Muhammad Danial Ashraf Abdullah menjaringkan gol kedua untuk skuad muda negara pada minit ke-86 selepas berlaku keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol pasukan Myanmar.
-- BERNAMA
#bola sepak #Malaysia #Myanmar #Ong Kim Swee #shah alam
;