Maklumat 'pendrive' penting daripada mencari dalang - Khairy
Anthea Yap
September 8, 2016 17:41 MYT
September 8, 2016 17:41 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menempelak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mencari dalang penyebar maklumat dalam 'pendrive' yang diserahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurut Khairy, FAM sepatutnya bukan sibuk memburu individu berkenaan tetapi sebaliknya perlu mendedahkan kandungannya untuk dinilai peminat bola sepak negara.
“Sudah pasti yang penting adalah isi kandungannya sebab dari segi keutamaan, saya percaya peminat bola sepak tidak hendak dengar sangat daripada FAM mengenai siapa membocorkan maklumat itu. Perkara lebih penting adalah isi kandungan 'pendrive' berkenaan,” katanya selepas menghadiri Forum Kyoto-ASEAN 2016 di ibu negara pada Khamis.
Pada Rabu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata FAM tidak akan berdiam diri tetapi akan mengambil tindakan terhadap siapa yang membocorkan maklumat itu.
Pada 18 Julai lalu, Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Tazim (JDT) mendakwa terdapat bukti salah laku FAM dalam 'pendrive' yang dimilikinya.
'Pendrive' itu kemudiannya diserahkan kepada Khairy pada Ogos lalu sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Khairy pada 2 September.
SPRM kemudiannya mengesahkan maklumat terbabit tiada kaitan dengan unsur rasuah dan penyelewengan.