Makaf lantik jurulatih Mesir dengan hasrat bawa pulang emas Sukan Asia
Bernama
Januari 27, 2023 05:30 MYT
Januari 27, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) melantik ketua jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Adbelraouf Mohamed Mourssy dengan sasaran untuk kembali melihat kilauan emas di Sukan Asia.
Setiausaha Agungnya Datuk Nur Azmi Ahmad berkata Majlis Sukan Negara (MSN) pada Jumaat bersetuju untuk melantik pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2008 itu untuk membimbing skuad kumite senior dan pelapis kebangsaan bermula 1 Feb ini.
Beliau berkata jurulatih berusia 40 tahun itu akan menggantikan Pengarah Kejurulatihan Makaf Datuk P Arivalagan yang telah digugurkan, manakala bekas pemenang pingat emas Sukan Asia R Puvaneswaran kekal sebagai jurulatih skuad kumite.
Menurut Nur Azmi, pihaknya telah menyenarai pendek tiga calon termasuk dari Iran dan Turkiye, tetapi prestasi dan pencapaian Tamer Adbelraouf dilihat lebih baik untuk memenuhi sasaran tiga emas di Sukan SEA Kemboja bermula dari 5 hingga 17 Mei ini dan sebutir emas di Sukan Asia Hangzhou bermula dari 23 Sept hingga 8 Okt depan.
"Sebelum ini, kita dah beri peluang kepada jurulatih tempatan, tetapi mereka tidak memenuhi jangkaan kita, iaitu seorang jurulatih mencungkil sekurang-kurangnya seorang atlet baik. Selain itu, beliau juga memiliki hubungan baik dengan jurulatih luar, lebih senang untuk mendapat 'sparring partner' yang lebih berkualiti untuk atlet kita.
Ia penting memandangkan banyak kejohanan WKF (Persekutuan Karate Dunia) dan AKF (Persekutuan Karate Asia) dianjurkan di sekitar Eropah dan Asia Barat. Jika jurulatih tempatan, mereka lebih mudah dapat 'sparring partners' dari negara seperti Thailand dan Indonesia," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di MSN.
Ini bukan kali pertama jurulatih luar membimbing skuad negara setelah Andris Vasiljevs dari Latvia dan Ali Reza Souleymani dari Iran pernah berkhidmat bersama Makaf.
Nur Azmi berkata setelah Tamer Adbelraouf melapor diri, Makaf akan memilih lima atau enam atlet terbaiknya untuk berkampung di luar negara sebagai persediaan ke Sukan Asia.
Selepas membawa pulang dua emas menerusi Lim Chee Wei (Kata lelaki) dan Syakilla Salni Jefry Krisnan (kumite 61kg wanita) daripada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, skuad negara sekadar meraih sebutir gangsa menerusi S Prem Kumar (kumite 61kg lelaki) daripada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Sementara itu, Nur Azmi mengesahkan bahawa pusat latihan skuad Kata di Pulau Pinang telah ditutup dengan kesemua jurulatih dan atlet ditawarkan berlatih di MSN Bukit Jalil.
"Terpulang kepada mereka sama ada nak terima atau tidak, tetapi kita dah tawar mereka di sini. Kita nak fokus pada pusat latihan Bukit Jalil sahaja," katanya.
-- BERNAMA