MAKAF beri peluang kedua kepada Syakilla intai tiket ke Tokyo

Bernama
Ogos 25, 2019 21:23 MYT
Syakilla telah menjalani latihan intensif di Pattaya, Thailand, di bawah kendalian bekas ketua jurulatih negara, Andris Vasiljevs dari Latvia. - Bernama
Hasrat Syakilla Sani Jefry Krishnan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kembali menyala selepas Persekutuan Karate Do Malaysia (MAKAF) bersetuju memberi peluang kedua kepada atlet karate negara itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, badan induk itu berpuas hati dengan komitmen atlet berusia 27 tahun itu yang berjaya menurunkan berat badan daripada 65kg kepada 55.8kg sejak menjalani latihan intensif di Pattaya, Thailand, di bawah kendalian bekas ketua jurulatih negara, Andris Vasiljevs dari Latvia.
Nur Azmi memaklumkan sebagai permulaan, Syakilla akan menyertai Kejohanan Karate1-Premier League di Tokyo dari 6 hingga 8 Sept ini sebelum beraksi pada kejohanan sama di Moscow pada 4 hingga 6 Okt ini, dengan syarat perlu mengekalkan berat di bawah 55kg.
"Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan juga MAKAF gembira dengan perkara ini (penurunan berat badan Syakilla), dan kita tetap meletakkan Syakilla dalam kategori 55kg pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November nanti.
"Saya nampak kesemua pihak begitu komited membantu Syakilla untuk beliau kembali menyumbang pingat emas untuk negara selepas ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan MAKAF yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Ali Rustam di sini, pada Sabtu.
MAKAF sebelum ini mengambil keputusan untuk menggantung Syakilla daripada menyertai kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 ekoran masalah berat badan dan keengganan atlet berkenaan menjalani latihan di bawah pengendali skuad karate negara, Ali Reza dari Iran.
Dalam pada itu, Nur Azmi menjelaskan MAKAF bakal menghantar 18 atlet ke Sukan SEA ke-30 dan masih mengekalkan sasaran empat pingat emas pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.
Daripada 18 atlet berkenaan, beliau menjelaskan 16 atlet diletakkan dalam kategori A, manakala selebihnya dalam kategori B.
Penyertaan kategori A ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Penyertaan kategori B pula menyaksikan persatuan sukan terlibat perlu mendahulukan wang perjalanan, dan MOM akan membayar balik wang berkenaan sekiranya atlet tersebut sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.
Beliau menjelaskan skuad negara akan menjalani latihan 'sparring' sama ada atlet dari Iran atau Eropah pada Oktober nanti di sini, selain menyertai kem bina negara di Durian Tunggal, Melaka pada bulan yang sama untuk menguatkan mental atlet negara sebelum ke Sukan SEA .
Untuk rekod, Malaysia muncul juara keseluruhan karate pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah mengutip tujuh pingat emas.
-- BERNAMA
#atlet karate do #atlet negara #karate do #makaf #Olimpik Tokyo #sukan #Sukan Olimpik #Syakilla Sani Jefry Krishnan
;