Mahkamah Brazil beku aset Neymar bernilai RM210 juta
Astro Arena
Februari 17, 2016 13:14 MYT
Februari 17, 2016 13:14 MYT
MAHKAMAH Brazil telah membekukan hampir 35 juta pound (RM 210 juta) aset milik bintang Barcelona, Neymar da Silva Santos Jr., selepas dia didapati bersalah mengelak daripada pembayaran cukai berjumlah 12 juta pound (RM72 juta) tahun lepas.
Aset yang dibekukan itu terdiri daripada sebuah kapal layar, jet persendirian dan beberapa rumah dan tanah milik pemain itu.
Turut dibekukan adalah tiga syarikat milik keluarganya.
Minggu lepas, mahkamah Sao Paolo menolak rayuan difailkan pemain bintang itu.
Pemain berusia 23 tahun itu menggunakan jet persendirian tersebut untuk melancong dan menghadiri perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Walau bagaimanapun, Pegawai Cukai Persekutuan Brazil Jung Martins menjelaskan pemain itu tidak akan dipenjarakan sekiranya dia melunaskan segala hutang.
Neymar dan ayahnya telah disiasat selama tiga jam di sebuah mahkamah di Madrid, Sepanyol berkenaan dengan perpindahan pemain itu ke Barcelona.
Kes Neymar mula dibangkitkan Grupo Sonda yang telah membuat pelaburan terhadap pemain itu di peringkat awal kariernya dan sepatutnya mendapat 40 peratus daripada nilai perpindahannya.