Magis percaturan Pan Gon, semangat pemain mampu runtuhkan ego Jordan

Bernama
Januari 14, 2024 07:15 MYT
Pan Gon dan Kapten Harimau Malaya, Matthew Davies (kanan) ketika sidang media pra-perlawanan kumpulan E antara Malaysia menentang Jordan sempena Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama, Doha, 14 Jan 2024. --fotoBERNAMA
DOHA: Saat yang dinantikan oleh semua peminat bola sepak tanah air hampir tiba menjelang pertembungan Malaysia dan Jordan pada perlawanan pertama Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini pada Isnin (16 Jan 1.30 pagi waktu Malaysia).
Pertembungan di satu daripada venue Piala Dunia 2022 itu menyaksikan pengendali dari Korea Selatan Kim Pan Gon akan membimbing Malaysia pada penampilan pertama di Piala Asia dalam tempoh 17 tahun sejak kali terakhir ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
Di atas kertas, Jordan yang berada di ranking dunia ke-87 merupakan pasukan pilihan sementara skuad Harimau Malaya (ke-130) yang bertandang ke sini dengan harapan besar mencipta sejarah, memburu sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang ke pusingan 16 terbaik.
Berdasarkan rekod pertemuan pula, Malaysia gagal mencatat kemenangan berdepan Jordan dalam lima perlawanan terakhir apabila tewas tiga dan seri dua, dengan pertemuan kali terakhir pada 2021 menyaksikan skuad The Chivalrous Ones itu menang 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Bagaimanapun, Jordan yang kini dibimbing jurulatih baharu dari Morocco Hussein Ammouta tidak berada pada prestasi terbaik apabila rekod menunjukkan mereka hanya meraih tiga kemenangan daripada 11 perlawanan kompetitif terakhir sebelum memulakan kempen Piala Asia.
Malah moral mereka dalam mendepani kempen Piala Asia 2023 turut menjadi persoalan selepas dibelasah juara empat kali Jepun 1-6 pada aksi pemanas badan di sini minggu lepas.
Malaysia pula bertandang ke Qatar dengan rekod yang memberangsangkan termasuk ketika menentang pasukan di ranking dunia lebih tinggi selepas melakar tujuh kemenangan dan dua seri dalam keseluruhan 10 perlawanan kompetitif sejak Mac tahun lepas.
Antaranya menewaskan India 4-2 di Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober lepas dan menumbangkan pasukan 100 terbaik dunia Kyrgyzstan 4-3 di pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 pada November lepas.
Terdahulu, Malaysia mengikat Syria 2-2 dan China 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada September lepas sebelum sekali lagi meraih keputusan seri 2-2 menentang Syria pada perlawanan pemanas badan di sini, minggu lepas.
Dalam pada itu, sekiranya Malaysia mahu meraih keputusan positif, tumpuan lebih perlu diberi kepada beberapa tonggak pemain Jordan antaranya penyerang prolifik Hamzah Al Dardour yang merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan mengumpul 33 gol setakat ini.
Selain itu, pemain yang beraksi di liga utama Perancis bersama kelab Montpellier HSC Musa Al-Taamari, pemain tengah Selangor FC Noor Al-Rawabdeh, bekas bintang Kedah Darul Aman FC Mahmoud Al-Mardi dan bekas pemain Selangor FC Yazan Al-Arab antara yang mampu memberikan ancaman.
Yazan hampir pasti mahu melepaskan 'amarahnya' selepas pemain berusia 27 tahun itu 'diharamkan' terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia ekoran tindakannya menyepak pengadil pada perlawanan Liga Super tahun lepas.
Malaysia pula hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah Endrick Dos Santos yang masih belum pulih daripada kecederaan sementara pemain pertahanan kiri La'vere Corbin-Ong yang turut mengalami kecederaan sebelum ini berpeluang diturunkan jika mencapai tahap kecergasan optimum.
Secara keseluruhan, statistik dan perkembangan kedua-dua pasukan ketika ini memberi bayangan bahawa pertembungan esok bakal berlangsung sengit apabila Jordan pasti mahu mempertahankan egonya manakala Malaysia yang dipacu magis percaturan Pan Gon memiliki kemampuan mencipta kejutan.
Untuk rekod, Jordan yang membuat penampilan kelima di Piala Asia pernah mara ke pusingan suku akhir sebanyak dua kali masing-masing pada 2004 dan 2011 sementara Malaysia tidak pernah melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.
-- BERNAMA
#Piala Asia 2023 #Kim Pan Gon #Jordan #harimau Malaya
;