Magis Fernandes, Sancho benam Arsenal
Sinar Harian
Julai 23, 2023 12:50 MYT
Julai 23, 2023 12:50 MYT
TUAH kapten baharu Manchester United, Bruno Fernandes ketika membantu The Red Devils menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Metlife, New York awal pagi Ahad.
Fernandes meledak satu gol, manakala Jadon Sancho tidak kekok dengan posisi baharu sebagai penyerang tengah berbanding sebelum ini sebagai pemain sayap.
United bagaimanapun turun tanpa penjaga gol baharu dari Cameroon, Andre Onana yang diikat dari Inter Milan menerusi kontrak bernilai 44 juta pound (RM258 juta) walaupun turut bersama menyertai jelajah pasukan itu di Amerika Syarikat
Penjaga gol kedua, Tom Heaton diberi tanggungjawab menjaga gawang dengan Fernandes memakai lilitan kapten selepas menggantikan pemain pertahanan, Harry Maguire.
The Red Devils di depan selepas setengah jam aksi apabila Fernandes meledak menerusi kaki kiri rendah untuk menewaskan penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale.
Sancho kemudian mencatat nama selaku penjaring susulan kesilapan pertahanan The Gunners, Gabriel.
Dengan United masih mencari penyerang tengah pada jendela perpindahan pemain, Sancho memainkan peranan penting, berbanding posisi biasa di bahagian sayap.
Memasuki babak kedua, rentak permainan dilihat menurun apabila pengurus United Erik ten Hag dan bos Arsenal, Mikel Arteta membuat pertukaran ramai pemain.
Di sebalik kejayaan tersebut, United juga boleh menarik nafas lega apabila pemain muda berusia 18 tahun Kobbie Mainoo memukau di bahagian tengah dan aksi itu mendapat pujian Fernandes.
“Kobbie seorang pemain yang hebat, dia mempamerkan daya tahan mengagumkan. Setiap orang boleh menyaksikannya. Dia bagus dengan bola, bertenaga, boleh bertahan dan menyerang.
“Dia masih muda tetapi kami lihat masa depan cerah buatnya. Harapnya dia akan mendapat lebih banyak minit perlawanan,” ujar Fernandes. - Sinar Harian