Magic Johnson dilantik jadi penasihat LA Lakers
Astro Arena
Februari 3, 2017 10:39 MYT
Februari 3, 2017 10:39 MYT
LA Lakers mengumumkan bahawa legenda kelab itu, Magic Johnson akan kembali menyertai pasukan setelah dilantik selaku penasihat.
Bekas bintang NBA itu akan bertindak selaku penasihat terhadap aspek sukan dan perniagaan Lakers di samping membantu presiden dan pemilik, Jeanie Buss.
Selain itu, Johnson turut akan bekerjasama dengan barisan jurulatih sambil memerhati perkembangan pemain.
Bagaimanapun, Lakers tidak mendedahkan intipati kontrak Johnson dan berapa lama akan memikul tugas tersebut.
"Kami sangat teruja dan berbesar hati dengan pelantikan Magic. Kami tidak sabar untuk berkerjasama," ujar Buss.
Johnson berkata:"Semua orang tahu saya cintakan Lakers. Saban tahun, saya ada memikirkan tentang tawaran oleh pasukan lain tetapi saya terlalu sayangkan pasukan ini dan hanya menjadikan Lakers sebagai destinasi utama.
"Saya akan lakukan segala yang termampu untuk mengembalikan status pasukan elit kepada Lakers."
Johnson beraksi bersama Lakers pada tahun 1979-91 sebelum kembali beraksi sekali lagi bagi musim 1995-96.
Dia juga pernah bertindak selaku jurulatih pada 1994.