Maghribi bergabung tenaga dengan Sepanyol, Portugal untuk bida Piala Dunia FIFA 2030

Bernama
Mac 15, 2023 17:00 MYT
Pembidaan bersama ini, akan menyatukan Afrika dan Eropah, utara dan selatan Mediterranean, serta dunia Afrika, Arab dan Euro-Mediterania.
ANKARA: Maghribi pada Selasa menyertai bidaan bersama Sepanyol dan Portugal untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2030.
"Sebelum perhimpunan ini, saya mengumumkan bahawa Kerajaan Maghribi bersama Sepanyol dan Portugal memutuskan untuk mengemukakan bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030," kata Raja Maghribi Mohammed VI dalam perutusannya, lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita kebangsaan Maghribi, MAP.
"Pembidaan bersama ini, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak, akan menyatukan Afrika dan Eropah, utara dan selatan Mediterranean, serta dunia Afrika, Arab dan Euro-Mediterania," katanya.
Raja Mohammad berkata pencalonan mereka "juga akan mengetengahkan yang terbaik dalam diri kami semua -- gabungan genius, kreativiti, pengalaman dan cara."
Mesej itu dibacakan oleh Chakib Benmoussa, menteri pendidikan dan sukan Maghribi, di ibu negara Rwanda, Kigali, lokasi berlangsungnya kongres FIFA ke-73.
Pasukan kebangsaan Maghribi mengejutkan pihak berkuasa bola sepak dengan prestasi baik mereka dalam Piala Dunia FIFA 2022 apabila menjadi pasukan Afrika dan Arab pertama mara ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan antarabangsa itu.
Maghribi tewas kepada Perancis 2-0 pada separuh akhir di Qatar 2022 sebelum Croatia menewaskan Atlas Lions 2-1 dalam perlawanan penentu tempat ketiga.
Pada Oktober, Ukraine pada mulanya menyertai tawaran Sepanyol dan Portugal, namun peranan negara yang dilanda perang itu tidak pasti selepas pengumuman Maghribi.
Sepanyol menjadi tuan rumah Piala Dunia 1982 manakala Portugal pula merupakan tuan rumah UEFA Euro 2004.
Argentina, Uruguay, Paraguay dan Chile sebelum ini menyerahkan bidaan bersama mereka untuk Piala Dunia 2030.
-- BERNAMA
#FIFA #Piala Dunia 2030 #bidaan bersama #Maghribi #sepanyol #Portugal
;