Madrid tidak mahu pertaruh saya - Hakimi
Astro Arena
Februari 15, 2022 09:40 MYT
Februari 15, 2022 09:40 MYT
PERTAHANAN kanan Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi, percaya bahawa Real Madrid tidak mahu mempertaruhkannya sebelum dia memilih untuk meninggalkan Santiago Bernabeu untuk menyertai Inter Milan pada 2020.
Pemain kebangsaan Maghribi itu berpindah ke San Siro secara tetap selepas menghabiskan dua tahun secara pinjaman di Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan sekitar €40 juta (RM189.51 juta) sebelum menyertai PSG dengan perpindahan lebih besar bernilai €68 juta (RM322.16 juta).
Hakimi akan berdepan bekas kelabnya itu dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes awal pagi esok dan dia menegaskan bahawa walaupun dia hanya dapat melakukan sembilan penampilan LaLiga bersama Los Blancos, dia tidak pernah berdendam dengan pasukan itu.
Bercakap dalam satu temu bual bersama Marca menjelang perlawanan di Paris itu, Hakimi berkata: "Ia satu perlawanan yang indah untuk dilalui dan seperti yang anda tahu, ia sebuah pasukan yang ada di hati saya selepas segala yang mereka telah berikan buat saya. Mereka membina saya sebagai seorang manusia dan pemain, dan mereka memberikan saya pembelajaran. Kami akan bersedia dengan sebaik mungkin untuk perlawanan ini."
Ditanya sebab utama dia meninggalkan pasukan gergasi Sepanyol itu, Hakimi berkata: "Ia benar bahawa sewaktu anda kali pertama menyertai Madrid daripada Castilla, adalah normal untuk kelab itu tidak mahu mempertaruhkan anda kerana anda masih muda.
"Tetapi saya kemudian meninggalkannya untuk ke Dortmund, saya dipinjamkan ke sana dan bermain dalam dua musim yang hebat sebelum memilih untuk pulang bagi membuat keputusan.
"Kemudian, saya fikir Madrid masih tidak mahu mempertaruhkan saya walaupun saya dapat bermain di peringkat tertinggi.
"Selepas itu, apabila saya meninggalkannya untuk ke Inter, terdapat juga pilihan untuk membeli semula tetapi mereka tidak mengunakannya, jadi saya fikir Madrid tidak mahu mempertaruhkan saya seperti yang kelab lain ingin lakukan.
"Saya gembira kerana saya fikir kelab-kelab ini tidak melakukan kesilapan kerana mempertaruhkan saya," katanya.