Madrid perlukan izin Belgium untuk Martinez

Astro Arena
Oktober 31, 2018 09:21 MYT
Roberto Martinez. REUTERS/Fail
REAL Madrid perlu mencapai persetujuan dengan Persatuan Bolasepak Diraja Belgium (RBFA) bagi mendapatkan khidmat Roberto Martinez selaku ketua jurulatih yang baru.
Santiago Solari memegang jawatan pengurus sementara di Santiago Bernabeu selepas Julen Lopetegui dipecat susulan kekalahan 5-1 di tangan Barcelona, Ahad lalu.
Madrid hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir bagi semua kejohanan dan menduduki tangga kesembilan LaLiga, tujuh mata di belakang juara bertahan dan pendahulu, Barca.
Antonio Conte menjadi calon utama untuk mengendalikan Los Blancos walaupun perbincangan dengan bekas pengurus Chelsea itu masih belum selesai.
Selepas membawa Belgium layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan menduduki kelompok teratas kedudukan FIFA, Martinez turut dikaitkan dengan jawatan di Madrid itu.
Namun, RBFA menegaskan persetujuan mereka diperlukan jika Madrid berhajat mendapatkan pengurus berusia 45 tahun itu.
"Jika kelab mahu menawarkan kontrak buat Martinez, mereka harus mencapai persetujuan terlebih dahulu dengan Belgium," kata wakil RBFA.
"Kami tidak mahu memberi komen tentang kontrak yang dimiliki oleh persatuan dan melihat ia sebagai hak persendirian."
Wakil RBFA juga mengesahkan persatuan itu masih belum dihubungi oleh Real Madrid.
#Antonio Conte #barcelona #Belgium #bola sepak #Persatuan Bolasepak Diraja Belgium #Piala Dunia #RBFA #Real Madrid #Roberto Martinez
;