Maaf Al-Ittihad, Liverpoool tetap tolak lamaran RM885 juta buat Salah!

Agensi
September 1, 2023 06:00 MYT
Kontrak lima tahun yang ditawarkan Al-Ittihad kepada Mohamed Salah dipercayai merangkumi gaji asas sebanyak £100 juta (RM590 juta), jet peribadi dan tawaran lumayan bagi mempromosi pelancongan dan pelaburan di Arab Saudi. - Gambar fail REUTERS
LONDON: Usaha kelab Al-Ittihad dari Arab Saudi untuk memancing pemain terkenal Mohamed Salah dari Liverpool sepertinya tidak berhasil.
Ini kerana Liverpool dengan tegas menolak bidaan bernilai £150 juta (RM885 juta) daripada Al-Ittihad untuk mendapatkan khidmat pemain superstarnya itu.
Sebaliknya, The Reds, tekad untuk mengekalkan Mohame Salah, 31, daripada terpengaruh dengan tawaran lumayan dari Arab Saudi.
Pada awalnya, Al-Ittihad menawarkan kontrak bernilai £100 juta (RM590 juta) dengan tambahan £50 juta (RM295 juta) selepas itu.
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan, tidak berminat untuk melayan bidaan dari kelab terbabit.
Bahkan, berhubung persoalan kemungkinan Salah akan berhijrah ke Arab Saudi, Klopp menegaskan, 'situasi tetap sama. Tiada lagi keraguan.'
Berdasarkan laporan portal media antarabangsa, kontrak lima tahun yang ditawarkan Al-Ittihad dipercayai merangkumi gaji asas sebanyak £100 juta (RM590 juta), jet peribadi dan tawaran lumayan bagi mempromosi pelancongan dan pelaburan di Arab Saudi.
Secara relatifnya, rundingan berkenaan berupaya mengatasi tawaran diterima Cristiano Ronaldo di Al-Nassr.
Tidak cukup itu, Mohamed Salah juga ditawarkan peluang untuk memiliki saham pasukan pada masa akan datang sepertimana rundingan Beckham bersama MLS yang menyaksikan dia memiliki Inter Miami.
Bagaimanapun, The Athletic melaporkan, Liverpool sudah membuat keputusan menolak bidaan itu menerusi telefon dan menegaskan rundingan itu sudahpun berakhir.
Namun begitu, Al-Ittihad dijangka bakal memberikan tawaran baharu dalam tempoh beberapa jam akan datang.
Baru-baru ini, Sunsport melaporkan, kontrak yang ditawarkan kepada Mohamed Salah oleh Al-Ittihad adalah serupa dengan tawaran yang dibuat kepada David Beckham dalam usaha membawa bintang berkenaan Arab Saudi.
Al-Ittihad yang terkenal sebagai kelab bola sepak terkaya dilihat sangat terdesak untuk menandatangani Mohamed Salah dan berhasrat untuk menjadikan penyerang Liverpool itu pengganti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema sebagai wajah Liga Pro Saudi. - Agensi
#Mohamed Salah #Liverpool #Al-Ittihad #lamaran RM885 juta
;