Ma Hussein tebus kecewa pada penampilan terakhir di Para SUKMA 2024
Bernama
September 15, 2024 22:38 MYT
September 15, 2024 22:38 MYT
KOTA BHARU: Jaguh powerlifting Kelantan Ma Hussein Mat Noh mahu menebus kekecewaannya tidak dapat beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan memburu pingat di Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 yang berlangsung pada 22 hingga 28 Sept di Kuching, Sarawak.
Atlet berusia 44 tahun itu berkata beliau kini semakin bersemangat untuk kembali beraksi dan membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak pada penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan kebangsaan itu.
"Ini ialah penampilan terakhir saya pada Para SUKMA berikutan sudah sampai had umur 45 tahun depan. Saya akan beraksi dalam kategori 72 kilogram (kg).
"Kita berharap dapat mencapai sasaran ditetapkan selepas menjalani sesi latihan bermula pertengahan Julai lepas di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan (Kombes) Negeri Kelantan," katanya merangkap jurulatih powerlifting Kelantan.
Empat tahun lepas, Ma Hussein yang sudah layak ke Tokyo 2020 bagaimanapun terpaksa melupakan aksinya kerana mengalami serangan jantung dan memerlukan pembedahan segera.
Untuk rekod, Ma Hussein pernah meraih pingat emas Para SUKMA edisi 2012, 2014, 2016 dan 2018.
Sementara itu, Kelantan menyasarkan dua pingat emas dan satu perak menerusi sukan powerlifting pada edisi kali ini.
Selain Ma Hussein, tiga lagi badang Kelantan bakal membuat kemunculan di temasya Para SUKMA 2024 ialah Wan Nur Azri Wan Azman (107kg), Ahmad Shahmin Abd Kadri (54kg) dan Muhammad Syafiq Abd razak (49kg).
"Wan Nur Azri dan Ahmad Shahmin adalah harapan kita yang dilihat berpotensi menyumbang pingat emas," katanya.
Wan Nur Azri mempunyai rekod angkatan peribadi terbaik ketika ini 181kg manakala Ahmad Shahmin merupakan pemenang pingat emas dan pemegang rekod kebangsaan kategori 49kg dengan angkatan 104kg dilakukannya pada edisi 2022.
-- BERNAMA