M'sia jadi pilihan Britain untuk lancar promosi bola sepak sempena 'Visitbritain' 2015

Bernama
Mac 20, 2015 08:25 MYT
Pejabat Suruhanjaya Tinggi Britain melancarkan pameran interaktif pop-up 'Football is Great' selama enam minggu pada Khamis. - Foto 'VisitBritain' Media Center
Britain telah memilih Malaysia sebagai negara pertama di Asia untuk melancarkan aktiviti promosi bola sepak bagi kempen melawat negara itu, 'VisitBritain', tahun ini.
Pejabat Suruhanjaya Tinggi Britain di sini melancarkan pameran interaktif pop-up 'Football is Great' selama enam minggu di pusat membeli belah Avenue K, Jalan Ampang, di sini, pada Khamis.
Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell berkata Malaysia dipilih kerana mempunyai begitu banyak peminat kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) di sini.
"Peminat di sini begitu ghairah dengan sukan bola sepak...sesuatu yang mereka kongsi bersama United Kingdom dan kami rasa ini adalah tempat yang tepat untuk membawa kempen ini.
"Di muzium Manchester, untuk bola sepak sahaja terdapat 140,000 bahan pameran...jadi kami fikir kami boleh boleh berkongsi sebilangan kecil bahan pameran itu dengan rakyat Malaysia yang mungkin tidak berpeluang ke United Kingdom," katanya ketika melancarkan kempen tersebut.
Selain pameran itu, katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan jurulatih Malaysia dalam menggilap teknik permainan dalam kalangan pemain muda di sini serta menggalakkan sukan itu dalam kalangan wanita.
Menurutnya program 'Kemahiran Perdana' akan dikendalikan oleh lagenda kelab Manchester City, Peter Barnes.
'Kemahiran Perdana' merupakan program perkongsian antara EPL dan British Council yang menggunakan bola sepak sebagai alat untuk membangunkan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak muda di seluruh dunia.
Sementara itu, Barnes, yang bekerjasama dengan jurulatih-jurulatih khusus bagi merancang dan membangun kejurulatihan inovatif bagi kanak-kanak, berkata standard bola sepak Malaysia semakin berkembang sejak beberapa tahun lepas.
"Sejak saya membimbing di sini sejak tiga atau empat tahun lepas, kami membawa lima pemain lelaki setiap tahun ke England untuk mereka mengikuti latihan bersama kelab Manchester United, Manchester City dan Liverpool," katanya.
Di samping itu, pameran promosi itu menampilkan padang mini astroturf untuk pengunjung menguji kemahiran bola sepak masing-masing, pertandingan liga Piala Barclays Premier dari 19 hingga 22 Mac ini serta jualan cenderahati dan baju-T yang ditandatangani oleh lagenda bola sepak England.
#Pejabat Suruhanjaya Tinggi Britain #Vicki Treadell #VisitBritain
;