Luqman Hakim puasa 17 jam, hanya bersahur ringan
Astro Arena
April 15, 2021 05:57 MYT
April 15, 2021 05:57 MYT
PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, cukup teruja untuk menjalankan ibadah puasanya buat kali pertama di perantauan.
Pemain kelab Belgium, KV Kortrijk, itu turut berkongsi betapa dia hanya bersahur secara ringan dengan buah kurma bagi menghadapi tempoh berpuasa selama 17 jam selain turut memasak juadah kegemarannya pada Ramadhan pertama.
"Sekarang sudah masuk hari kedua. Semalam seperti biasa sahaja kerana tiada sesi latihan tetapi hari ini lebih mencabar kerana ada latihan selama dua jam.
"Letih memang letih tetapi hendak buat macam mana, saya kena paksa diri juga.
"Kalau di Malaysia, latihan dalam bulan puasa cuma pada waktu malam tetapi di sini (Belgium), kami ada latihan di sebelah pagi.
"Saya bersahur pada jam 4.00 dan pada 4.30 sudah tamat waktu bersahur. Saya hanya bersahur kurma, roti, yogurt dan air.
"Saya makan kurma untuk tenaga dan bagi saya, ia tiada masalah kerana latihan saya hanya dua jam dan boleh berehat pada sebelah petang.
"Menu semasa hari pertama berpuasa, saya terasa mahu makan nasi goreng tomyam, jadi saya ke kedai Asia di sini untuk membeli apa yang patut dan masak nasi goreng tomyam bersama udang.
"Saya hendak rasa makanan Malaysia pada hari pertama untuk mendapatkan semangat," katanya.
#puasa
#Belgium
#bola sepak
#17 jam
#masak
#kurma
#sahur
#latihan
#makanan malaysia
#semangat
#KV Kortrijk
#Luqman Hakim Shamsudin
#ramadan2021