Lupakan kekalahan di Terengganu, fokus Piala FA
Astro Arena
April 7, 2015 08:16 MYT
April 7, 2015 08:16 MYT
Jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah mahu pemainnya melupakan kekalahan di Terengganu dalam saingan Liga Super pada Sabtu lepas, sebaliknya memberi fokus kepada saingan Piala FA.
Beliau berkata pemainnya perlu memberikan aksi terbaik dalam saingan suku akhir Piala FA menentang Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, malam ini.
"Bagi saya kita ingin lupakan kekalahan di Terengganu dan kita tahu sudah tentu di kubu sendiri (Sime Darby FC), mereka akan main habis-habisan, FA Cup ini satu perlawanan yang berlainan.
"Kita mahu mendapatkan jaringan di tempat lawan kerana itu penting, saya akan cuba beberapa kombinasi yang sesuai untuk menghadapi Sime Darby FC," katanya ketika menjalankan latihan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Mohd Azraai Khor berkata beliau berharap pemain kelahiran Colombia iaitu Erwin Carillo dapat diturunkan ketika menentang Sime Darby FC malam ini selepas pemain itu mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan sebelum ini.
"Harapan saya Carillo dapat diturunkan, ketika adakan latihan ringan semalam kita jangka dia akan turun tetapi kita tengok prestasi dia (Carillo) pagi ini, kemasukan Carillo akan menjadikan pasukan sedikit berbeza.
"Kita juga akan beri peluang kepada dia (Emmanuel Kenmogne) pada perlawanan itu dan dia perlu buktikan sesuatu," katanya.
Beliau berkata barisan pemain muda seperti Wan Zaharulnizam Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor dan juga Mohd Khairul Izuan Rosli juga perlu memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan berkenaan.
"Rata-rata pemain menaruh keyakinan yang tinggi dan kita akan lakukan yang terbaik untuk menang," katanya.
Sabtu lepas, Kelantan tewas 2-1 pada saingan Liga Super 2015 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Terengganu.