Luis Suarez berjanji tiada lagi insiden gigit
Umaira Uyop
Jun 30, 2014 07:53 MYT
Jun 30, 2014 07:53 MYT
Penyerang Uruguay, Luis Suarez akhirnya meminta maaf kepada Giorgio Chiellini kerana menggigit pemain Itali itu dan menyesali apa yang telah berlaku.
Chiellini menyambut baik permohonan maaf itu dan berharap FIFA akan mengurangkan hukuman terhadap Suarez.
Pemain berusia 27 tahun itu turut memohon maaf kepada seluruh pasukan bola sepak Itali dan berjanji insiden sebegitu tidak akan berlaku lagi.
Chiellini membalas permohonan maaf Suarez dengan menulis di laman Twitter “Segalanya telah dilupakan dan saya berharap FIFA mengurangkan hukuman ke atas kamu”.
Kejadian berlaku 10 minit sebelum perlawanan terakhir kumpulan D tamat, menyaksikan Uruguay menang 1-0.
Sebelum ini Suarez mengatakan dia tidak berniat menggigit Chiellini dan apa yang berlaku adalah di luar kawalannya.
Akibat insiden itu... Suarez digantung sembilan perlawanan antarabangsa dan dilarang terlibat dalam semua aktiviti bola sepak selama empat bulan.
Pemain Liverpool itu hanya akan kembali ke padang pada 26 Oktober ini.
Ini kali ketiga Suarez terlibat dengan insiden menggigit pemain lain selepas bintang Chelsea, Branislav Ivanovic dan pemain PSV Eindhoven, Otman Bakkal menjadi mangsanya.