Luis Enrique enggan terjebak dengan kontroversi Copa del Rey
Astro Arena
Februari 11, 2017 10:50 MYT
Februari 11, 2017 10:50 MYT
LUIS ENRIQUE tidak mahu terjebak dalam kontroversi yang membabitkan penganjuran perlawanan akhir Copa del Rey, dengan menegaskan dia tidak kisah bila dan di mana Barcelona perlu beraksi.
Pertembungan final dengan Alaves masih belum dapat diputuskan dengan Real Madrid sudahpun menolak penganjurannya di Santiago Bernabeu ekoran kerja-kerja yang akan dilakukan.
"Isu ini timbul setiap tahun. Saya tahu apa yang setiap kelab akan katakan, ia bukan sesuatu yang membimbangkan saya.
"Saya tidak kisah waktu dan tempat yang kami akan beraksi," katanya menjelang pertemuan dengan Alaves bagi aksi LaLiga, minggu ini.
Bos Barcelona itu juga enggan mengulas panjang berhubung rayuan mereka untuk kad kuning Luis Suarez.
Penyerang itu dilayangkan kad kuning kedua dalam aksi separuh akhir kedua Copa del Rey menentang Atletico Madrid, pertengahan minggu ini, sambil Sergio Busquets dan Sergio Roberto turut menerima kad kuning.
"Saya tidak suka terjerumus dalam kontroversi dan saya saya tidak mahu mengulasnya. Saya bukan seseorang yang gemar mencetuskan polimik, itu tugas kamu.
"Tugas saya adalah meningkatkan prestasi pasukan dan mendapatkan keputusan."
Barcelona berpeluang memintas Real Madrid -- yang mempunyai kelebihan baki dua perlawanan -- jika menang ke atas Alaves di Estadio de Mendizorroza, sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa jam sebelum anak buah Zinedine Zidane turun bertemu Osasuna.
"Ia langsung tidak penting.
"Saya mahu menjadi pendahulu LaLiga selepas 38 perlawanan tatkala tiada mata lagi untuk direbut pasukan lain.
"Dalam situasi kami ini, kami perlu memenangi mata untuk memperbaiki kedudukan kami."