LTdL: Reguigui tawan Bukit Fraser

Bernama
Mac 15, 2015 08:43 MYT
Para pelumba memasuki kawasan Bukit Fraser pada peringkat ketujuh dari Shah Alam ke Bukit Fraser dengan jarak 180.8km pada perlumbaan Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, hari ini.
Pelumba Algeria, Youcef Reguigui mencipta kemenangan sensasi apabila menjuarai peringkat ketujuh jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 dari Shah Alam ke Bukit Fraser, sejauh 180.8km, hari ini.
Selain menawan puncak Bukit Fraser, wakil pasukan MTN-Qhubeka berusia 25 tahun itu turut merampas jersi kuning daripada pelumba Australia, Caleb Ewan, dari pasukan Orica GreenEdge, selaku pendahulu keseluruhan.
Meskpun berkayuh dalam keadaan cuaca panas, Reguigui mengambil tindakan berani dengan melakukan pecutan pada 10km terakhir pada laluan 1,105 meter di atas paras laut sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 38 minit 41 saat.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Colombia, Sebastian Henao (Team Sky) manakala pelumba Itali, Valerio Agnoli (Astana Pro) berada di tempat ketiga dengan turut mencatat masa yang sama dengan Reguigui.
Reguigui berkata beliau menghadiahkan kemenangan itu kepada anaknya, Messah, yang baru lahir baru-baru ini.
"Saya juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan serta penganjur atas kejayaan peringkat ini dalam penampilan sulungnya dalam perlumbaan LTdL," katanya.
Reguigui menyifatkan pendakian di laluan tersebut bukan mudah untuk semua pelumba, bagaimanapun katanya berat badannya yang tidak begitu berat memudahkan tugas pendakiannya di laluan itu.
Biarpun hanya memiliki kelebihan tipis 10 saat dengan pencabar terdekat Henao, beliau yakin dapat mempertahankan jersi kuning pada peringkat terakhir esok.
"Jarak perlumbaan peringkat akhir tidak begitu jauh...jadi saya menjangka pelumba pecut daripada pasukan Orica GreenEdge atau Astana pro akan menguasainya. Saya begitu harap untuk mengekalkan jersi ini," katanya.
Dalam pada itu, Ewan, yang hanya mampu menduduki tempat ke-72 daripada 117 pelumba hari ini, berkata beliau kecewa selepas jersi kuning miliknya sejak peringkat ketiga, akhirnya terlepas tangan.
Bagaimanapun, beliau tidak sabar untuk bangkit merampas semula jersi tersebut pada saingan akhir esok.
Walaupun terlepas jersi kuning, Ewan masih mempunyai peluang untuk muncul juara Raja Pecut (jersi biru) apabila mengumpul 75 mata, 12 mata di hadapan Reguigui, sebelum LTdL melabuhkan tirainya di Dataran Merdeka esok.
Dalam perlumbaan hari ini, pelumba Jepun, Tomohiro Hayakawa (Aisan Racing) merampas jersi putih, selaku pelumba terbaik Asia daripada pelumba China, Zhang Wenlong (Giant-Champion System) yang jatuh ke tempat kelima.
Tomohiro mengumpul catatan masa keseluruhan 26 jam 13 minit 24 saat, hanya satu minit 0.6 saat di belakang pencabar terdekat, pelumba China, Liu Jianpeng daripada pasukan Hengxiang.
Sementara itu, Keil Reijnen daripada pasukan UnitedHealthCare, dijangka mempertahankan jersi merah, selaku pendahulu Raja Bukit, dengan mengumpul 39 mata.
Pelumba Amerika Syarikat itu memiliki kelebihan 19 mata daripada pencabar terdekat, pelumba Sepanyol, Francisco Mancebo (Skydive Dubai).
Esok, kesemua 115 pelumba akan bersaing peringkat terakhir sejauh 96.1km dari Kuala Kubu Baharu ke Dataran Merdeka dengan tiga zon pecutan di Serendah dan berhampiran Kuala Lumpur serta zon pendakian di Selayang.
#Bukit Fraser #Le Tour de Langkawi #Youcef Reguigui
;