LTdL: Polis Perak umum lencongan, penutupan jalan

Aida Aziz
September 22, 2023 11:51 MYT
Pengguna jalan raya disaran mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pegawai dan anggota trafik bagi melancarkan pergerakan lalu lintas untuk memberi laluan kepada LTdL. - Gambar fail
IPOH: Lencongan dan penutupan jalan akan dilaksanakan di beberapa lokasi di negeri ini sempena perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-27 pada tahun 2023.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, terdapat tiga peringkat dalam lencongan dan penutupan jalan tersebut pada 25 hingga 27 September (Isnin-Rabu).
"Jalan-jalan yang akan dilencongkan dan ditutup sepanjang tempoh pergerakan perlumbaan berbasikal pada 25 September ialah Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli dan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Fasa II Gerik-Kupang.
"Pada 26 September, jalan terlibat ialah di Pekan Parit Buntar, Pekan Bagan Serai, Pekan Simpang, Taiping, Pekan Kuala Kangsar, Pekan Sungai Siput, Pekan Chemor dan Bandar Meru Raya.
"Pada 27 September pula membabitkan Pekan Slim River dan Pekan Tanjung Malim," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah, perlumbaan itu akan merangkumi jalan di Perak bermula pada peringkat ketiga dari Jeli, Kelantan dan berakhir di Baling, Kedah pada 25 September, melibatkan daerah Gerik dengan jarak perlumbaan sejauh 183.1 km.
Seterusnya peringkat keempat dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan berakhir di Meru Raya, Ipoh pada 26 September yang melibatkan daerah Kerian, Taiping, Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Ipoh dengan jarak perlumbaan sejauh 140.2 km.
Selain itu katanya, peringkat kelima dari Slim River, Tapah dan berakhir di Genting Highlands, Pahang pada 27 September melibatkan daerah Muallim dengan jarak perlumbaan sejauh 126.4 km.
Sehubungan itu, Mohd Yusri menjelaskan pergerakan kenderaan berat tidak dibenarkan di kawasan sepanjang laluan LTdL dan lencongan akan dibuat oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Dilarang sama sekali untuk meletakkan kenderaan di kiri dan kanan bahu jalan sepanjang laluan LTdL bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
"Jalan akan dibuka semula kepada semua lalu lintas selepas semua acara perlumbaan selesai ke sempadan yang terlibat," katanya lagi.
Tambahnya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan yang mungkin berlaku akibat penutupan jalan tersebut.
Selain itu, pengguna jalan raya disaran mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pegawai dan anggota trafik bagi melancarkan pergerakan lalu lintas untuk memberi laluan kepada acara perlumbaan tersebut.
"Orang awam dan penonton yang menyaksikan sepanjang perlumbaan LTdL ini dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penonton, pelumba, pasukan sokongan dan semua petugas LTdL terjamin," katanya.
#LTdL #penutupan jalan #lencongan jalan #Perak
;