LTdL perlu lebih RM15 juta - Abdul Rashid

Bernama
Ogos 26, 2024 18:00 MYT
Abdul Rashid bercakap pada sidang media selepas majlis pengumuman kerjasama strategik Tourism Malaysia dan Petronas Le Tour De Langkawi 2024 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dijangka memerlukan perbelanjaan lebih RM15 juta apabila perlumbaan edisi ke-28 akan memasuki Pulau Langkawi dan berakhir di Bintulu, Sarawak.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding edisi tahun lepas kerana terpaksa menampung kos logistik melibatkan penerbangan ke Pulau Langkawi dan Sarawak.
"Saya tidak boleh mendedahkan angka sebenar kerana kos agak tinggi sedikit, tetapi kita (MSN) ada bajet kita sendiri. Kadang-kadang bajet penganjuran LTdL ini boleh berubah pada bila-bila masa.
Pada edisi lepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya memperuntukkan RM8 juta, tetapi sebagai penganjur, MSN memerlukan bajet lebih besar iaitu sekitar RM15 hingga RM16 juta untuk menjayakan perlumbaan kelas dunia itu.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata setakat ini penajaan bagi menganjurkan perlumbaan berprestij itu berjalan lancar kerana terdapat beberapa syarikat bakal memuktamadkan kerjasama tidak lama lagi.
Beliau berkata buat masa ini Tourism Malaysia bersetuju meneruskan kerjasama strategik dengan penajaan bernilai RM1 juta sekali gus menjadi pemegang jersi Polka Dot Raja Bukit.
"Kita akan buat pengumuman berkaitan penajaan, cuma saya belum boleh umumkan berapa jumlah kerana ada yang masih dalam perbincangan dan ada yang belum umumkan sepenuhnya berapa mereka nak beri, ada penaja yang belum ada angka penajaan.
Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer itu bakal menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan selain dua peringkat dilangsungkan di Sarawak iaitu Miri serta Bintulu.
Ia akan bermula di Langkawi untuk peringkat pertama, diikuti peringkat kedua Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highland (peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (peringkat 6), Miri ke Bintulu (peringkat 7) dan Bintulu (peringkat 8).
-- BERNAMA
#Le Tour de Langkawi #LTdL 2024 #Majlis Sukan Negara #Abdul Rashid Yaakub #perbelanjaan
;