LTdL: Harrif Salleh hilang 10 saat rantai terlucut
Astro Arena
September 26, 2023 07:45 MYT
September 26, 2023 07:45 MYT
PELUMBA tempatan sekali lagi terlepas podium peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 semalam, kali ini berikutan masalah teknikal basikal.
Jaguh pecut Terengganu Polygon Cycling Team, Harrif Salleh, pada awalnya berada di kedudukan baik menuju garisan penamat tetapi basikalnya pula mengalami masalah teknikal sekali gus terpaksa berputih mata.
"Dalam 10km terakhir, rantai saya jatuh jadi saya kehilangan 10 saat.
"Saya masih berada di posisi terbaik tapi saya sudah semput di penyudah jadi dengan kelajuan tinggi saya (cuba) kekal dalam peloton.
"Saya agak sedih juga tapi kami tidak jangka dengan masalah teknikal yang terjadi pada saat akhir.
"Tapi benda nak jadi janji saya selamat sampai," katanya.
Untuk rekod, Harrif menawan peringkat ketiga pada 2019 dan 2020.
Peringkat keempat dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, Ipoh, sejauh 140.2km itu menyaksikan pelumba skuad kebangsaan, Zulhelmi Zainal, muncul terpantas di kedudukan ke-11.
"Pasukan Malaysia cuba memecah kelompok untuk mendapatkan kedudukan terbaik di bahagian depan.
"Dengan kerjasama pasukan, kami dapat berada di kedudukan hadapan.
"Kami sudah jangka ada beberapa bahagian pecutan, jadi, dua tukang pecut termasuk saya perlu bekerja keras pada hari ini," katanya.