LTdL: Beberapa jalan di Gombak ditutup bermula 1 tengah hari esok

Bernama
Oktober 12, 2022 10:45 MYT
Perlumbaan LTdL peringkat ketiga akan bermula di Putrajaya dan berakhir di Genting Highlands dengan pelumba dijangka tiba di sempadan daerah Gombak kira-kira pukul 3 petang. - Gambar fail/Facebook Le Tour de Langkawi
KUALA LUMPUR: Beberapa jalan raya di sekitar Gombak, di sini akan ditutup bermula pukul 1 tengah hari esok, sempena perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL).
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata antara jalan yang akan ditutup sepanjang perlumbaan itu berlangsung ialah susur keluar Taman Melati ke MRR2 Batu Caves, susur keluar Shell Taman Melati, MRR2 dari arah Batu Caves hala tol Gombak dan Jalan Sungai Pusu hala ke tol Gombak.
"Semua pengguna jalan raya dinasihat untuk mengelakkan melalui jalan-jalan yang terlibat dengan perlumbaan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perlumbaan LTdL peringkat ketiga akan bermula di Putrajaya dan berakhir di Genting Highlands dengan pelumba dijangka tiba di sempadan daerah Gombak kira-kira pukul 3 petang dan tamat selewat-lewatnya pukul 4.15 petang.
-- BERNAMA
#LTdL #jalan tutup #Gombak #Batu Caves
;