LTdL 2023: Peringkat ketiga milik Jackson

Bernama
September 25, 2023 19:16 MYT
George Jackson berjaya menjuarai perlumbaan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2023 peringkat ketiga dari Jeli ke Baling sejauh 183.1 KM hari ini. - Gambar/ Bernama
BALING: Pelumba pasukan Bolton Equities Black Spoke, George Jackson mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjuarai perlumbaan Peringkat Ketiga jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, dari Jeli ke Baling, hari ini.
Pada perlumbaan sejauh 183.1 kilometer (km) itu, pelumba New Zealand itu memecut di 200 meter terakhir menuju ke garisan penamat disusuli pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Enrico Zanoncello dan pelumba Euskaltel-Euskadi, Carlos Blanco Canal menduduki tempat kedua dan ketiga.
Komisar perlumbaan memberikan masa yang sama iaitu empat jam 14 minit 13 saat kepada 56 daripada 121 pelumba teratas setelah menamatkan perlumbaan secara berkelompok.
"Saya sangat gembira untuk berjaya selepas pasukan melakukan banyak kerja untuk membantu saya. Rakan sepasukan Matt Bostock membantu saya keluar daripada peloton dan berada di tempat keempat di selekoh terakhir...sebelum melakukan henjutan terakhir ke garisan penamat.
"Ia adalah sangat berbukit dan saya berbadan besar terpaksa melakukan kayuhan pantas. Di samping, hujan dan cuaca panas merupakan cabaran yang perlu dihadapi. Kami akan bertarung untuk peringkat lain dan kami juga mempunyai rakan pasukan bersaing untuk kedudukan tempat ,"katanyanya selepas perlumbaan itu.
Pelumba berusia 23 tahun itu, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 dan ke-19 pada perlumbaan Peringkat Pertama dan Kedua.
Dalam pada itu, pelumba skuad kebangsaan, Nur Aiman Muhammad Rosli, berjaya merampas Jersi Putih (Terbaik Asia) selepas melintasi garisan penamat di kedudukan keenam.
Nur Aiman berkongsi catatan 12:55.15s bersama pelumba tempat kedua terbaik, Thanakhan Chaiyasombat dari Thailand Cycling Team diikuti Masaki Yamamoto daripada pasukan JCL Team Ukyo bagi perebutan jersi tersebut.
"Memang tak tahu nak cakap macam mana, ini rezeki saya dan pasukan Malaysia pada LTdL kali ini. Saya buat ini bukan untuk saya seorang tetapi rakyat Malaysia serta seluruh pasukan saya.
"Memang tak dirancang tetapi saya bertahan dan cuba buat terbaik untuk diri saya. Perancangan saya untuk 'ride for survive' dan hendak selamatkan diri kerana hari ini perlumbaan laluan berbukit. Jadi saya hanya bertahan dalam peloton," katanya.
Perlumbaan peringkat keempat meliputi jarak 140.2km esok, dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, Perak menawarkan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Talang dan Sungai Siput selain satu zon pendakian kategori tiga di Kuala Kangsar.
-- BERNAMA
#LTdL 2023 #George Jackson #peringkat ketiga #Jeli-Baling
;