LTdL 2023: Pasukan tiba di Terengganu, pemburuan jersi hijau bermula

Bernama
September 22, 2023 08:45 MYT
Perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia dengan jarak sejauh 1,278.1 kilometer meliputi lapan peringkat itu bukan sahaja mengujakan peminat sukan tanah air, bahkan sejumlah pelumba, baik dari dalam mahupun luar negara. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Ketibaan lengkap 22 pasukan dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, di sini, sejak semalam, membuktikan bahang penganjurannya tidak pernah terpadam sebelum acara kayuhan itu bermula esok hingga 30 Sept ini.
Perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia dengan jarak sejauh 1,278.1 kilometer (km) meliputi lapan peringkat itu bukan sahaja mengujakan peminat sukan tanah air, bahkan sejumlah pelumba, baik dari dalam mahupun luar negara.
Kesemua pasukan bertanding membabitkan seramai 131 pelumba itu hadir dengan tujuan sama, iaitu bagi membuktikan siapa lebih handal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan LTdL 2023.
Tampil dengan keunikan sejak penganjuran 1996, penukaran warna jersi pendahulu keseluruhan bagi jelajah bertaraf ProSeries itu dibuat kali ini berikutan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merupakan penaja perdana perlumbaan berbasikal berkenaan.
Turut menjadi jersi rebutan pada LTdL edisi ke-27 ini, jersi oren (Raja Pecut); jersi polka (Raja Bukit) dan jersi putih (Pelumba Terbaik Asia).
Berbeza dengan LTdL 2022 dengan penyertaan enam pasukan WorldTeam, edisi kali ini tampil dengan dua pasukan membabitkan EF Education-Easypost dari Amerika Syarikat dan Astana Qazaqstan Team dari Kazakhstan namun dijangka kekal 'menyengat' kesemua pasukan bertanding.
Ketua jurulatih skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Yusof Nasir berkata, keberadaan dua pasukan WorldTeam itu merupakan peluang terbaik untuk mereka kekal merasai aksi saingan peringkat tertinggi.
Beliau berkata, ia juga kesempatan bagi pelumba Malaysia membuktikan kebolehan dan keupayaan mereka bersaing dengan pelumba profesional sekali gus meletakkan sasaran untuk berada di podium dalam mana-mana peringkat saingan.
LTdL 2023 bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu, diikuti Peringkat 2 (Kuala Terengganu-Kota Bharu), Peringkat 3 (Jeli-Baling), Peringkat 4 (Bukit Mertajam-Meru Raya), Peringkat 5 (Slim River-Genting Highlands), Peringkat 6 (Karak-Melaka), Peringkat 7 (Muar-Seremban) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Setia Alam-Kuala Lumpur).
Dua peringkat awal LTdL 2023 dijadual bermula di Terenganu bermula esok dari Kerteh ke Kuala Terengganu dan keesokan harinya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dijangka memberi kelebihan buat pasukan berstatus Continental Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang berpangkalan di negeri itu untuk menawan peringkat berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal dalam pada itu menjangkakan saingan sengit bakal berlaku seawal Peringkat 1 dengan perlumbaan panaroma persisiran pantai sebagai pembuka bicara buat pelumba.
Tiga zon pecutan bagi Peringkat 1 disediakan iaitu di Dungun, Ajil dan Tok Jamal serta dua zon pendakian kategori 4 (KOM4) di Jerangau dan Sekayu yang menjadi medan pemburuan awal buat pelumba menguasai empat jersi utama yang menjadi rebutan.
"Kami menjangkakan bakal berlaku penamat secara beramai-ramai di peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu, di mana pasukan gergasi akan memberi laluan kepada TSG dan pasukan kebangsaan melakukan pemecahan.
"Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (pelumba TSG) ada peluang untuk hari pertama kerana akan melalui kampungnya, jadi dia akan terus melakukan kayuhan bertenaga sejak hari pertama lagi bagi mengutip mata di zon pendakian," katanya. - BERNAMA
#LTdL 2023 #Le Tour de Langkawi #WorldTeam #jelajah berbasikal Asia
;