LTdL 2023: Nur Amirull rampas jersi Raja Bukit rakan sepasukan
Bernama
September 24, 2023 17:43 MYT
September 24, 2023 17:43 MYT
KOTA BHARU: Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki membuktikan beliau berada di kelas tersendiri selepas berjaya menyambar jersi polka dot (Raja Bukit) pada perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, hari ini.
Lebih menarik pada perlumbaan sejauh 186.2 kilometer (km) dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, pelumba berusia 31 tahun itu merampas jersi tersebut daripada rakan sepasukannya Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, selepas menakluk dua zon pendakian kategori empat di Setiu dan Pelong.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Nur Amirull membolot empat mata keseluruhan untuk mengungguli gelaran Raja Bukit, memintas Nur Aiman dengan tiga mata, setakat ini.
"Hari ini perancangannya untuk melakukan pecahan daripada peloton...paling tidak dapat mengacau mata di zon pendakian. Syukur, ia menjadi.
"Esok ada laluan berbukit yang panjang. Kalau boleh, sekiranya ada pecahan, jangan bagi yang ada mengumpul mata mengambilnya dan itu adalah perancangan kita hari ini dan ia menjadi," katanya selepas perlumbaan.
Nur Amirull berkata beliau mahu memberi tumpuan penuh padaperlumbaan peringkat ketiga dari Jeli ke Baling sejauh 183.1km esok, yang menawarkan empat zon pendakian membabitkan Jeli, Puncak Titiwangsa, Seri Banding serta Sungai Rui bagi mengekalkan penguasaan gelaran Raja Bukit itu.
-- BERNAMA