LTdL 2023: Carr juara keseluruhan, Syritsa ungguli peringkat akhir
Bernama
September 30, 2023 20:42 MYT
September 30, 2023 20:42 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan EF Education-Easypost, Simon Carr melakar sejarah menjadi atlet berbasikal pertama British memenangi gelaran Juara Keseluruhan (Jersi Hijau) perlumbaan jelajah berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.
Pelumba berusia 25 tahun itu muncul Juara Keseluruhan individu apabila mencatatkan masa kayuhan lapan hari berjumlah 29 jam 17 minit dan 41 saat, biarpun hanya menamatkan saingan di tempat ke-62 pada perlumbaan peringkat akhir (Peringkat Kelapan) LTdL hari ini.
Lebih manis, rakan sepasukan Jefferson Alexander Cepeda mengiringi kejayaannya selepas menduduki tempat kedua (29:18:30s) meninggalkan pelumba Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo di tempat ketiga (29:18:39s) bagi klasifikasi individu keseluruhan LTdL.
"Memenangi Juara Keseluruhan saya rasa semua ahli pasukan boleh berbangga dan saya gembira mengenainya.
Saya fikir sudah tentu pada hari ketiga saya sudah berpecah dan saya tahu saya mempunyai kaki yang kuat dan ini ketara sekali apabila saya menang di Genting Highlands, ia merupakan hari paling penting bagi Juara Keseluruhan juga buat Jefferson (rakan sepasukan) di tempat kedua ia memang baik untuk kami, kami tahu kami mempunyai pasukan yang kuat tetapi ia belum benar-benar tamat maka hari ini kami perlu bergantung dengan semua rakan sepasukan untuk muncul di tempat pertama dan kedua dan satu kemenangan buat saya." katanya.
Terdahulu, pelumba Astana Qazaqstan Team Gleb Syritsa, muncul Juara Peringkat Kelapan, sekali gus merupakan kemenangan peringkat kali kedua buat beliau dalam saingan LTdL kali ini.
Pada perlumbaan dari Setia Alam ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) itu, Syritsa mencatatkan masa kayuhan tiga jam 12 minit dan 27 saat, diikuti pelumba Caja Rural-Seguros RGA Daniel Babor serta pelumba Tudor Pro Cycling Team Arvid de Kleijn masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
De Kleijn dalam masa sama menepati ramalan menguasai gelaran Raja Pecut sejak Peringkat Pertama tanpa dicabar hebat mana-mana pelumba lain.
Pelumba berusia 29 tahun itu kekal menyarung Jersi Jingga (Raja Pecut), selepas mengumpul 72 mata, diikuti Syritsa (58 mata) dan wakil Human Powered Health, Sasha Weemaes di kedudukan ketiga (55 mata).
Jersi Polka Dot (Raja Bukit) pula sah menjadi milik rakan sepasukan de Kleijn, Simon Pellaud selepas mengumpul 32 mata diikuti Carr (20 mata) dan Castrillo (13 mata).
Sementara itu, pelumba Astana Qazaqstan Team Vadim Pronskiy merangkul gelaran pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) selepas mengumpul catatan masa 29:18:56s, diikuti pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar (29:21:00s), manakala wakil Roojai Online Insurance, Ariya Phounsavath di kedudukan ketiga (29:23:45s).
-- BERNAMA