LTdL 2023: Carr dedikasi kemenangan peringkat 'queen stage' buat datuknya
Bernama
September 27, 2023 18:30 MYT
September 27, 2023 18:30 MYT
GENTING HIGHLANDS: Pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr, muncul juara perlumbaan Peringkat 5, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Slim River ke Genting Highlands, hari ini.
Pada perlumbaan turut dikenali sebagai 'queen stage' meliputi jarak 126.4 kilometer (km), pelumba Britain berkenaan melepasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 24 minit 06 saat (s).
"Bagi saya kemenangan ini amat bermakna bukan hanya kerana saya menjuarai perlumbaan tetapi sebenarnya saya sangat bermotivasi untuk menang kerana datuk saya (Tony Carr) baru sahaja meninggal dunia Isnin lalu.
"Dia adalah peminat nombor satu saya dan saya benar-benar mahu memenangi perlumbaan ini untuknya," kata pelumba berusia 25 tahun itu..
Rakan sepasukannya, Jefferson Alexander Cepeda mengikuti rapat di tempat kedua (3:24.45s), sementara Pablo Castrillo yang mewakili pasukan Equipo Kern Pharma di tempat ketiga (3:24.54s).
Carr menyifatkan perlumbaan hari ini sukar tetapi seluruh pasukan melakukan tugas dengan hebat.
Kejayaan menawan puncak pedakian setinggi 1,625 meter (m) itu, sekaligus menyaksikan Carr berjaya merampas Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan masa 19:25.10s, diikuti rakan sepasukan, Cepeda (0:49s), manakala Castrillo di kedudukan ketiga (0:58s).
Esok, perlumbaan peringkat keenam meliputi jarak sejauh 174.5km dari Karak ke Melaka melibatkan dua zon pendakian di Gapoi dan Luak Inas serta tiga zon pecutan di Pelangai, Batu Kikir dan Kuala Pilah.
-- BERNAMA