LTdL 2022: TSC sasar kekal jersi kuning

Bernama
September 19, 2022 06:15 MYT
Lima pelumba muda negara dibarisi Muhammad Nur Aiman Rosli, Muhsin Al Redha Misbah, Akmal Hakim Zakaria, Muhammad Zawawi Azman and Muhammad Shaiful Adlan Shukri. - Foto Facebook/Team Sapura Cycling
KUALA LUMPUR: Pasukan profesional benua tempatan Team Sapura Cycling (TSC) optimis untuk mengekalkan jersi kuning dimenanginya sebelum ini pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 pada 11 hingga 18 Okt ini.
Pengurus pasukan, Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata harapan diletakkan kepada pelumba berusia 32 tahun yang juga bekas juara keseluruhan Danilo Celano dengan disokong lima pelumba muda negara dalam usaha mengekalkan kejuaraan dimenangi pada edisi 2020.
Lima pelumba muda negara dibarisi Muhammad Nur Aiman Rosli, Muhsin Al Redha Misbah, Akmal Hakim Zakaria, Muhammad Zawawi Azman and Muhammad Shaiful Adlan Shukri.
"Walaupun melalui masa sukar tanpa penyertaan di peringkat antarabangsa sejak dua tahun lepas, TSC menyediakan pelumba dengan menjalani latihan sehingga 25 jam setiap minggu.
"Jurulatih kami bekerja keras untuk memastikan para pelumba berada dalam keadaan terbaik dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi cabaran LTdL khususnya dengan kehadiran enam pasukan jelajah dunia dan empat pasukan profesional benua," katanya.
Kerjasama berpasukan yang baik menyumbang kepada kejayaan diraih Celano pada edisi 2020 selain barisan pelumba berpengalaman seperti Serghei Tvetcov, Pierpaolo Ficara, Cristian Raileanu dan Ahmet Orken, dibantu pelumba tempatan Muhammad Nur Aiman Zariff.
Sebagai persediaan terakhir sebelum perlumbaan, Mohd Sayuti berkata para pelumba akan menguji laluan sebenar LTdL pada 20 Sept sebelum berlepas menyertai Jelajah Taiwan pada 2 hingga 6 Okt.
LTdL22 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.8km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km).
Edisi ke-26 menjanjikan saingan lebih sengit dengan penyertaan enam pasukan profesional dunia - UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) and Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).
-- BERNAMA
#ltdl 2022 #TSC #jersi kuning #Danilo Celano
;