LTdL 2022: Penganjur ubah laluan peringkat ketujuh di Langkawi hari ini

Bernama
Oktober 16, 2022 06:15 MYT
Laluan asal peringkat ketujuh menampilkan tiga zon pecut di Pelabuhan Telaga, Teluk Yu dan Kuah sebelum menuju ke Zon Pendakian Kategori 3 di Lebuh Langkawi dan Zon Pendakian Kategori 1 ke puncak Gunung Raya. - Gambar fail/Facebook LTdL
LANGKAWI: Perlumbaan peringkat ketujuh saingan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) membabitkan laluan dari Pekan Kuah ke puncak Gunung Raya hari ini mengalami perubahan berikutan cuaca buruk dan banjir serta tanah runtuh yang melanda pulau peranginan ini.
Menerusi kenyataan pihak penganjur Human Voyage, presiden komisar pertandingan Wayne Pomario bersetuju supaya laluan sejauh 90.8 kilometer (km) itu digantikan dengan laluan peringkat lapan membabitkan Loop Langkawi.
"Susulan mesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah Langkawi dan Jawatankuasa Keselamatan Trafik Daerah Langkawi memutuskan penamat Peringkat 7 di puncak Gunung Raya dibatalkan kerana kebimbangan keselamatan penunggang, pasukan dan orang ramai.
"Pembatalan itu dibuat berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di empat lokasi di Gunung Raya," menurut kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
BACA: Lebih 31 kawasan terjejas banjir kilat di Langkawi
BACA: Banjir Langkawi: 1 PPS dibuka malam ini tempatkan 37 mangsa
BACA: Paras sungai lepasi tahap bahaya di Langkawi, Yan, penduduk diminta berwaspada
BACA: 44 orang terperangkap di Telaga Tujuh Langkawi
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) semalam mengesahkan antara kawasan dilanda banjir termasuk Kampung Teluk Yu, Kampung Kilim dan Kampung Telaga Ayer Hangat di Ayer Hangat; Kampung Belanga Pecah di Kuah; Bukit Kemboja dan Sungai Melaka di Padang Matsirat dan Empangan Padang Saga di Ulu Melaka.
Laluan asal peringkat ketujuh menampilkan tiga zon pecut di Pelabuhan Telaga, Teluk Yu dan Kuah sebelum menuju ke Zon Pendakian Kategori 3 di Lebuh Langkawi dan Zon Pendakian Kategori 1 ke puncak Gunung Raya.
-- BERNAMA
#LTdL #banjir #ubah laluan #Langkawi
;