Lovren tak sabar buat perhitungan semula dengan Kane
Israr Khalid
Julai 10, 2018 06:02 MYT
Julai 10, 2018 06:02 MYT
PERTAHANAN Croatia, Dejan Lovren sedia membuktikan kualiti sebenarnya berdepan penyerang England, Harry Kane menjelang pertembungan pasukan masing-masing di separuh akhir Piala Dunia 2018.
Ada perhitungan yang perlu diselesaikan Lovren dengan Kane, selepas mimpi ngeri pertemuan Liverpool dengan Tottenham Hotspur kira-kira sembilan bulan lalu yang menyaksikan The Reds dibelasah 4-1 di Wembley.
Dalam perlawanan pada Oktober itu, kesilapan Lovren menjadi punca kepada dua gol awal Spurs yang menyaksikan Kane meledak gol pertama seawal minit keempat dan membantu jaringan Song Hyeung-min lapan minit kemudian, memaksa pertahanan itu dikeluarkan awal oleh Jurgen Klopp.
Bagaimanapun, Lovren kembali bangkit dengan memberi persembahan memberangsangkan perlawanan demi perlawanan, dan membina gandingan dengan Virgil van Dijk yang membantu Liverpool ke final Liga Juara-Juara Eropah.
Membawa momentum cemerlang itu ke Rusia, Lovren dibariskan sebagai kesebelasan utama dalam empat daripada keseluruhan lima perlawanan dan memainkan peranan yang cukup penting dalam kemaraan Croatia hingga ke separuh akhir.
Sementara Kane turut meneruskan rentetan ketajamannya, apabila menjadi penjaring terbanyak kempen Piala Dunia kali ini dengan enam gol dan besar kemungkinan merangkul Anugerah Kasut Emas.
Mengakui Kane sebagai penyerang yang hebat, Lovren tidak gentar malah tidak sabar untuk diuji dan mempersembahkan kualiti terbaik dimilikinya di pentas terbesar bola sepak dunia.
"Sejak beberapa musim lepas, dia pasti akan menjaringkan lebih daripada 25 gol dan dia memang antara penyerang terbaik di dunia.
"Tetapi saya suka mencabar penyerang-penyerang seperti ini untuk menunjukkan bahawa sayalah antara pertahanan terbaik," katanya kepada akhbar United Kingdom.
Croatia mara ke separuh akhir dengan kemenangan penentuan sepakan penalti ke atas Denmark seterusnya Rusia dalam pusingan kalah mati.
Katanya, menjadi bukan pilihan semestinya memberi kelebihan buat Croatia, yang kali terakhir berjaya menjejakkan kaki ke pentas separuh akhir pada 1998, untuk beraksi lebih tenang.
#Croatia
#Dejan Lovren
#England
#Harry Kane
#Liverpool
#Piala Dunia AWANI
#Raya Bola 2018
#Spurs
#Tottenham Hotspurs