Louis Van Gaal dipecat: Penyokong Manchester United sokong keputusan kelab
Kohilah Sekaran
Mei 23, 2016 07:43 MYT
Mei 23, 2016 07:43 MYT
LOUIS Van Gaal dipecat daripada jawatan pengurus kelab Manchester United, pada Isnin, lapor media antarabangsa.
Bekas pengurus kelab Chelsea, Jose Mourinho dikatakan bakal mengambil alih jawatan Van Gaal, bagaimanapun belum ada pengesahan rasmi daripada United.
Van Gaal yang berusia 64 tahun ditamatkan khidmatnya bersama Manchester selepas bersama kelab itu selama dua tahun daripada tiga tahun kontraknya.
Menurut laporan BBC, pelantikan Mourinho dijangka akan disahkan selepas beliau bertemu dengan pegawai United.
Di media sosial, ramai penyokong Manchester United dilihat menyokong keputusan itu.
Menurut mereka, walaupun Van Gaal merupakan seorang bintang bola sepak yang berbakat tetapi beliau bukan seorang pengurus yang berkaliber.
Malah, penyokong berpendapat Mourinho layak mengambil tempat itu kerana beliau lebih berpengalaman dan sistematik.
Mereka turut yakin Mourinho dapat mengembalikan kegemilangan Manchester United.
Seorang peminat tegar United, Gajendra Jeyasingam berkata: "Sebagai peminat United, saya gembira jika Mourinho dilantik sebagai pengurus, kerana kemahiran kejurulatihannya amat mengagumkan. Khidmat Van Gaal di Old Trafford sejak dua tahun ini tidak mampu membawa prestasi yang baik dalam kalangan pemain."