Los Ticos bawa pulang satu mata saguhati dari Rusia
Israr Khalid
Jun 27, 2018 06:12 MYT
Jun 27, 2018 06:12 MYT
SWITZERLAND 2 COSTA RICA 2
Switzerland memastikan slot naib juara Kumpulan E milik mereka selepas pertembungan sengit dengan Costa Rica yang diikat dengan drama penalti lewat permainan.
Mereka berjaya memperoleh sekurang-kurangnya satu mata yang diperlukan untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali ketiga dalam empat penyertaan.
Blerim Dzemaili membuka tirai jaringan pada minit ke-31 untuk Switzerland namun Los Ticos mengejar dan berjaya menerusi tandukan Kendall Watson daripada sepakan sudut Joel Campbell untuk menyamakan kedudukan sepuluh minit selepas bermula babak kedua.
Pada minit ke-88, Josip Drmic kembali membawa skuad Rossocrociati di depan namun tidak lama selepas itu Costa Rica dianugerahkan sepakan penalti, yang kemudian dibatalkan VAR kerana didapati pemain mereka sudah ofsaid terlebih dahulu.
Dua minit berselang sekali lagi Los Ticos diberi sepakan penalti dan kali ini keputusan pengadil Clement Turpin adalah muktamad.
Peluang itu hampir disiakan Bryan Ruiz apabila sepakannya terkena tiang, namun pantulannya mengenai tiang sebelum terkena kepala penjaga gol Swiss, Yann Sommer dan masuk ke gol sendiri untuk Costa Rica menyamakan kedudukan.
Keputusan itu memberikan anak buah Oscar Ramirez satu mata, satu-satunya mata yang berjaya dikutip daripada kempen kali ini sebagai saguhati sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Rusia.
Sementara anak buah Vladimir Petkovic akan menerima tentangan juara Kumpulan F, Sweden di Saint Petersburg pada 3 Julai jam 10 malam.