Longines penjaga masa rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022

Ehsan A Marisah
Januari 31, 2022 10:00 MYT
Dari kiri: Alvin Chong, Welson Sim, Wendy Ng Yan Yee dan Jeremiah Loo. - Gambar Longines
KEMERIAHAN Sukan Komanwel Birmingham 2022 kian hangat apabila penganjuran acara ikonik, Queen’s Baton Relay menyaksikan penyertaan 72 negara termasuk Malaysia yang merupakan negara ke-29 menjadi persinggahan.
Larian baton yang bermula pada 7 Oktober 2021 itu merupakan simbolik menyemarakkan harapan, memberi inspirasi merentasi negara dan sebagai meraikan detik-detik bermakna menjelang temasya berprestij tersebut.
Baton yang direka khas oleh pereka terkemuka dan ahli teknologi itu memaparkan kemajuan sains, teknologi, kejuruteraan dan seni bina, dengan menggabungkan mesej perutusan daripada Ratu, kamera 360 darjah, elemen tembaga, aluminium dan loyang, platinum strand, komponen lampu diod pemancar cahaya (LED) termasuk penderia.
Semasa persinggahannya, setiap negara terlibat akan menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti termasuk perkongsian luahan atau cerita daripada pembawa baton, atlet, anak muda dan komuniti setempat.
Longines lancar HydroConquest XXII
Baru-baru ini, jenama jam tangan terkemuka, Longines yang juga rakan kongsi dan penjaga masa rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022, melancarkan jam tangan edisi eksklusif, HydroConquest XXII sebagai simbolik meraikan temasya penuh sejarah itu.
Terhad kepada 2,022 buah, jam tangan tersebut direka dengan ciri khas apabila bezelnya diukir berdasarkan warna logo temasya dengan indah selain memiliki fungsi keseimbangan silikon bagi memastikan prestasi tinggi dan jangka hayat lebih panjang.
Bahagian dalam dan belakang jam tangan pula diukir dengan logo Birmingham 2022 yang merupakan edisi terhad apabila hanya dikeluarkan pada 2022 selain menggunakan keluli tahan karat yang menjadikannya lebih sporty dan moden.
HydroConquest XXII turut direka dengan bahan yang bukan sahaja ringan dan tahan hakisan, malah tidak terjejas dengan suhu yang pelbagai dan medan magnet sekali gus hadir dengan jaminan selama lima tahun.
Ketibaan Queen’s Baton Relay di KLCC
Baru-baru ini, Longines turut mengalu-alukan ketibaan Queen’s Baton Relay di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menyaksikan himpunan para atlet, orang kenamaan serta komuniti setempat datang meraikannya.
Atlet, Welson Sim berkata, beliau teruja apabila dipilih untuk menggalas tugas sebagai pembawa baton temasya pada kali ini serta menganggap ia merupakan pengalaman cukup berharga di sepanjang kariernya.
“Saya sangat teruja mengenainya, gembira dipilih kerana ini adalah pengalaman kali pertama saya menjadi peserta Queen’s Baton Relay di sepanjang kerjaya sukan saya, ini benar-benar perasaan yang sukar untuk digambarkan.
“Dari segi persiapan pula, saya telah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal dan selebihnya saya akan melakukan yang terbaik sebagai pembawa baton,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, rakan jenama Longines, Alvin Chong berkata, dia teruja kerana dipilih dalam kalangan selebriti untuk merasai sendiri pengalaman jam tangan yang direka khas dan sangat eksklusif itu.
“Bagi saya, mengapa ia begitu istimewa kerana warnanya berbeza berbanding HydroConquest yang pernah dikeluarkan oleh Longines, anda boleh melihat bezelnya direka berdasarkan warna logo Sukan Komanwel pada bahagian depan dan belakang jam tangan.
“Selain itu, jam tangan ini juga didatangkan dengan ciri khas, iaitu keseimbangan silikon. Ini akan membantu mereka yang aktif bersukan mencapai keselesaan dan prestasi lebih tinggi,” ujarnya.
Kini, orang ramai boleh merasai sendiri pengalaman kehebatan jam tangan Longines HydroConquest XXII yang dibuka kepada umum di Suria KLCC bermula 24 Januari hingga 28 Januari ini.
Manakala, larian baton yang menjangkau 269 hari meliputi kira-kira 140 kilometer (km), melibatkan 7,500 pembawa baton itu dijangka akan kembali ke England dan meneruskan perjalanannya selama 25 hari dan berakhir pada Majlis Pembukaan Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
#Sukan Komanwel #Queen's Baton Relay #Longines #HydroConquest XXII #Birmingham 2022
;